
Harian Metro melaporkan Zuhaimi Saad, 47, minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Hakim Mirza Mohamad.
Warga tempatan itu didakwa menggunakan amphetamine dan methamphetamine ketika pemeriksaan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Langkawi pada 11.05 malam 10 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan maksimum tiga sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aqlima Azizi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah turut dimaklumkan tertuduh pernah dipenjara enam bulan dan tiga tahun pengawasan pada 2023, selepas disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Setahun kemudian, tertuduh dipenjara tujuh bulan dan dua tahun pengawasan lagi atas kesalahan di bawah akta sama.
Hakim tidak membenarkan jaminan dan sebutan semula kes bagi proses serahan dokumen ditetapkan pada 26 Jun ini.
Semalam, media melaporkan seorang suspek dikenali ‘Bagok’, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah di Langkawi dan dikatakan orang kanan kepada anggota polis dikenali “Mr A” yang mendalangi sindiket itu, ditahan Sabtu lalu.
Suspek mempunyai 12 rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971, Seksyen 160 Kanun Keseksaan, lima rekod mengikut Seksyen 12(2) serta tiga rekod di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu, media melaporkan selepas kematian Pablo Escobar Langkawi yang dikenali Mat Nahar, enam tahun lalu, kini muncul satu rangkaian pengedaran dadah didakwa beroperasi secara tersusun di sekitar Langkawi yang didalangi seorang anggota polis dikenalı “Mr A”.
Menurut laporan, beberapa individu yang pernah menganggotai sindiket Mat Nahar kini dipercayai bekerja dengan rangkaian baharu itu susulan kematian ketua mereka.