

Hasnal Rezua Merican Habib Merican berkata, keberadaan parti itu dalam pentadbiran Anwar Ibrahim menjadi benteng mempertahankan kepentingan khususnya Melayu dan Islam.
Ketua Umno Selayang itu memberi contoh penentangan Umno dalam tuntutan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
“Bukan bermakna apabila DAP membuat tuntutan maka Umno dilihat sudah gagal dan tidak berani melawan.
“Sebaliknya kita tidak beri laluan, jadi mengapa kita masih dipanggil UmDAP?” katanya dalam perbahasan PAU2025 sambil merujuk frasa Umno dan DAP yang sering dilabel lawan susulan kerjasama dalam kerajaan perpaduan sejak Disember 2022.
Dalam ucapannya, Hasnal Rezua juga berharap lebih ramai ahli Umno yang meninggalkan parti kembali semula bersama perjuangan parti itu menerusi agenda ‘Rumah Bangsa’ seperti diumumkan Presiden Zahid Hamidi.
“Kita mesti berlapang dada menyambut kepulangan mereka yang ingin kembali semula ke dalam parti ini kerana inilah rumah bangsa di mana tempat kita bernaung,” katanya.
Beliau turut menggesa Umno memperhebat usaha memberi penerangan berkaitan naratif pembentukan kerajaan Madani bagi meraih semula sokongan akar umbi, terutama di kalangan masyarakat Melayu.
Katanya, kelemahan menyelesaikan isu terbabit menyebabkan golongan Melayu terus menuding jari dan menyalahkan Umno.
Menurutnya, Umno perlu mengulangi penegasan di mana kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) terpaksa selepas Perikatan Nasional (PN) enggan mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk membentuk kerajaan bersama.