MOT arah tambah baik menyeluruh sistem bagasi KLIA

MOT arah tambah baik menyeluruh sistem bagasi KLIA

Gangguan bekalan elektrik di pencawang Bukit Raja dikenal pasti sebagai punca utama insiden sistem bagasi KLIA, menurut Kementerian Pengangkutan.

Nota Jemaah Menteri berhubung insiden gangguan sistem pengendalian bagasi (BHS) akan dibentangkan Rabu ini. (Gambar KLIA)
PETALING JAYA:
Punca utama gangguan sistem pengendalian bagasi (BHS) di Terminal 1 KLIA, Sabtu lalu sudah dikenal pasti dan langkah penambahbaikan segera serta jangka panjang sedang dilaksanakan.

Kementerian Pengangkutan berkata gangguan berpunca daripada sistem Gas Insulated Switchgear (GIS) 132kV di pencawang Bukit Raja yang terputus kira-kira 4.54 petang, sekali gus menyebabkan penurunan voltan dan menjejaskan operasi di KLIA.

Menurutnya, gangguan itu menyebabkan pengawal sistem BHS gagal berfungsi, lalu mencetuskan penutupan besar sistem pengendalian bagasi bagi penerbangan tiba dan berlepas.

Tambahnya, antara 5 petang hingga 10.30 malam pada hari kejadian, sebanyak 23,769 bagasi diproses dan insiden berkenaan tidak menjejaskan jadual penerbangan dan tiada kelewatan atau pembatalan dilaporkan.

“MOT telah mengarahkan satu penambahbaikan menyeluruh terhadap protokol dan infrastruktur sistem pengendalian bagasi di KLIA, serta akan memastikan pemantauan rapi terhadap pelaksanaannya.

“Satu nota Jemaah Menteri berhubung insiden berkenaan akan dibentangkan Rabu ini,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat penyelarasan kecemasan dipengerusikan Ketua Setiausaha MOT Jana Santhiran Muniayan.

Mesyuarat itu turut dihadiri pegawai kanan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), pengurusan tertinggi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), wakil syarikat penerbangan, serta pasukan operasi yang terbabit semasa insiden.

Semalam, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengarahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menyiasat kerosakan BHS di KLIA Terminal 1 pada petang Sabtu lalu yang menyebabkan kelewatan bagasi antara dua hingga empat jam bagi sejumlah besar penumpang.

Katanya, CAAM juga perlu meneliti sama ada hukuman wajar dikenakan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd atas kegagalan dalam penyampaian perkhidmatannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.