
Anwar berkata, bekas presiden MCA yang meninggal dunia pada Sabtu pada usia 82 tahun itu merupakan seorang negarawan berpengalaman yang telah menabur bakti tidak ternilai kepada parti dan negara.
Ling, yang juga canselor Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar), berkhidmat sebagai menteri pengangkutan dari 1986 hingga 2003, dan pada masa sama turut menerajui MCA.
“Saya hadir ke sini untuk ucapkan takziah kepada isteri dan keluarga Ling bagi pihak negara,” kata Anwar kepada pemberita ketika memberi penghormatan terakhir pada Ling hari ini.
“Ling telah memberikan sumbangan yang amat besar kepada negara, terutamanya di Kementerian Pengangkutan, di mana banyak program utama telah dilaksanakan di bawah kepimpinan beliau.”
Yang di-Pertua Negeri Melaka Ali Rustam menyifatkan Ling sebagai seorang menteri yang rajin dan berdedikasi, yang sentiasa memikirkan cara untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan Malaysia.
Beliau turut mengimbau kenangan bekerjasama rapat dengan Ling semasa berkhidmat sebagai timbalan menteri pengangkutan, termasuk dalam pembangunan KLIA.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pemergian Ling amat dirasai, baik pada peringkat peribadi mahupun negara.
“Beliau seorang tokoh luar biasa yang hidup pada era penting dalam sejarah Malaysia. Legasi, hasil kerja dan jasanya kepada negara akan sentiasa dikenang,” katanya.
“Sebagai ahli Jemaah Menteri hari ini, kami imbau kembali era tersebut dan fahami bahawa apa yang kami lakukan sekarang ialah kesinambungan daripada apa yang telah dimulakan oleh pemimpin seperti Ling,” katanya.
Antara yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir termasuk Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok; bekas presiden MCA Liow Tiong Lai; Presiden Gerakan Dominic Lau; Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia Ng Yih Pyng; Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun; dan Mukhriz Mahathir.
Ling pernah memangku jawatan perdana menteri selama kira-kira dua minggu pada 1988 selepas pembatalan pendaftaran Umno susulan pertikaian kepimpinan dalaman memuncak menjadi cabaran perundangan berhubung keabsahan parti itu.
Beliau memulakan kerjaya politiknya pada 1968 apabila menyertai MCA, dan menjadi ahli jawatankuasa pusat pada 1974.
Beliau memenangi kerusi Parlimen Mata Kuching (kini Bagan) pada 1974, mengekalkannya untuk dua penggal lagi, sebelum dipilih sebagai Ahli Parlimen Labis pada 1986, kerusi yang disandangnya selama empat penggal.
Ling berkhidmat sebagai timbalan menteri penerangan (1976-1982), timbalan menteri kewangan (1982-1984) dan timbalan menteri pendidikan (1985-1986) sebelum dilantik sebagai menteri pengangkutan pada 1986, menggantikan Chong Hon Nyan yang bersara.