Kesuma laksana 21 sesi libat urus semakan gaji minimum

Kesuma laksana 21 sesi libat urus semakan gaji minimum

Langkah itu penting untuk pastikan kadar gaji minimum yang disemak kekal relevan dengan perkembangan sosioekonomi semasa, kata kementerian.

kementerian sumber manusia
Kesuma komited pastikan hasil kajiannya akan menyumbang kepada pembentukan dasar gaji minimum yang lebih adil, mampan dan sokong kesejahteraan pekerja serta daya saing ekonomi negara.
PETALING JAYA:
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melaksanakan 21 sesi libat urus di seluruh negara sebagai sebahagian kajian semula Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024, dalam usaha mendapatkan pandangan menyeluruh daripada majikan, pekerja dan kesatuan sekerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, langkah itu penting bagi memastikan kadar gaji minimum yang disemak kekal relevan dengan perkembangan sosioekonomi semasa serta realiti sebenar pasaran buruh negara.

“Kajian semula ini telah bermula pada Januari 2026 dan dijangka selesai pada September 2026 dengan mengambil kira perkembangan sosioekonomi semasa serta pandangan pelbagai pihak berkepentingan termasuk majikan, pekerja, persatuan majikan dan kesatuan sekerja,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, sesi libat urus di Putrajaya menghimpunkan kira-kira 400 peserta terdiri daripada wakil majikan, persatuan majikan, pekerja dan kesatuan sekerja bagi membincangkan isu pelaksanaan gaji minimum.

Ketika ini, kadar gaji minimum semasa ialah RM1,700, hasil kajian semula Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) bagi tempoh November 2022 hingga November 2023 selaras dengan perkembangan semasa ekonomi dan pasaran buruh.

“Kesuma turut merakamkan penghargaan kepada para majikan yang telah mematuhi pelaksanaan pembayaran gaji minimum selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

“Kementerian komited untuk memastikan hasil kajian ini akan menyumbang kepada pembentukan dasar gaji minimum yang lebih adil, mampan dan menyokong kesejahteraan pekerja serta daya saing ekonomi negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.