Tiada perbincangan khas kepimpinan parti dengan PM, kata AJK PAS

Tiada perbincangan khas kepimpinan parti dengan PM, kata AJK PAS

Ahmad Amzad Hashim berkata beliau tidak dimaklumkan berhubung pertemuan atau perbincangan lain antara parti itu dan perdana menteri dalam mesyuarat rasmi PAS.

Ahli Jawatankuasa PAS Ahmad Amzad Hashim berkata pertemuan pemimpin PAS memegang jawatan menteri besar dengan perdana menteri perkara biasa selaras tanggungjawab pentadbiran negeri.
PETALING JAYA:
Tiada per­bincangan khas kepimpinan PAS dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim susulan kemelut dalaman Perikatan Nasio­nal (PN), kata Ahli Jawatankuasa PAS, Ahmad Amzad Hashim.

Menurutnya, beliau tidak dimaklumkan berhubung pertemuan atau perbincangan lain antara parti itu dengan perdana menteri dalam mesyuarat rasmi PAS.

“Setakat ini, dalam tiga me­syuarat bulanan Jawatankuasa PAS serta beberapa mesyuarat khas PAS yang saya hadiri, tidak pernah dilapor atau dibincangkan mengenai sebarang perbincangan lain dengan PMX (perdana menteri),” katanya menurut Utusan Malaysia.

Jelasnya, pertemuan pemimpin PAS seperti Menteri Besar Terengganu, Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor dengan perdana menteri perkara biasa selaras tanggungjawab pentadbiran negeri.

“Sebarang pertemuan melibatkan menteri besar atas urusan rasmi berkaitan kepen­tingan negeri dan tidak boleh disalah tafsir sebagai perbincangan politik atau rundingan parti.”

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu mengulas dakwaan Ke­tua Penerangan Pemuda Umno Jeli, Wan Mahusin Wan Zain bahawa PAS me­ngadakan pertemuan dengan perdana menteri susulan kemelut dalaman PN.

Amzad berkata, pemimpin PAS juga tidak pernah membincangkan perkara itu di luar me­syuarat rasmi.

“Perbualan tidak rasmi sesama kami pemimpin pun tidak pernah dengar perkara ini. Saya anggap dakwaan tersebut serkap jarang atau sekadar spekulasi.”

Beliau berkata, PAS tetap komited memperkasa PN dan mengusahakan penyatuan ummah dengan me­ngajak orang Melayu bersatu sebagai kekuatan politik kukuh dan stabil dengan disertai rakan bukan Melayu sederhana dan tidak melampau dalam mempertikai perkara sensitif kepada kedudukan Islam serta orang Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.