Tinjauan PRN Sabah: 27% responden belum buat keputusan tentang calon

Tinjauan PRN Sabah: 27% responden belum buat keputusan tentang calon

Kajian bersama dua institut mendapati sebahagian besar pengundi atas pagar yang ditinjau lebih cenderung menilai calon berbanding parti.

pengundi mengundi election
Tinjauan dapati 27% daripada 2,488 responden di Sabah belum buat keputusan mengenai calon, Ketika negeri bersiap sedia untuk mengundi.
PETALING JAYA:
Sekitar 27% daripada 2,488 responden di Sabah belum membuat keputusan mengenai calon pilihan bagi PRN ke-17, menurut satu tinjauan oleh dua institut.

Kajian oleh Institut Pembangunan dan Penyelidikan Ekonomi (IDERC) dan Institut Kajian Pembangunan Sabah itu mendapati 71.2% pengundi atas pagar ini lebih cenderung menilai sumbangan calon kepada komuniti setempat berbanding parti politik yang diwakili.

Turut tersingkap kebanyakan pengundi muda tidak mempunyai kecenderungan politik tetap dan banyak bergantung pada media sosial untuk membuat keputusan, menurut Pengerusi IDERC Mohammad Redzuan Othman.

Katanya, responden bimbang akan tiga isu utama iaitu gangguan bekalan air dan elektrik, keadaan jalan raya, serta kos sara hidup; manakala responden di kawasan pantai barat, yang membentuk 55.1% daripada pengundi atas pagar ini, turut menekankan isu berkaitan hak Sabah, autonomi, dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Redzuan percaya kumpulan pengundi atas pagar ini cukup besar dan berpotensi menentukan keputusan akhir pilihan raya Sabah, lapor Berita Harian.

Kajian ‘NADI SABAH 2025: Suara Rakyat Menjelang PRN Sabah ke-17’ dijalankan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah serta NGO tempatan, Pertubuhan Penyelidikan Sosial dan Komuniti.

Berdasarkan pecahan jantina, sebanyak 52.8% daripada responden adalah wanita. Berdasarkan kumpulan umur, golongan pertengahan usia (31–50 tahun) mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 40.1% peratus, manakala golongan muda (18–39 tahun) pula 35.2%.

Kebanyakan responden bekerja sendiri atau berniaga (39%), diikuti pekerja sektor swasta (15.3%).

Kajian utama dijalankan selama sembilan hari bermula 21 hingga 29 Ogos 2025, diikuti pemerhatian lapangan hingga 1 November 2025, membabitkan responden daripada pelbagai peringkat umur, jantina dan latar etnik.

Redzuan bersama penyelidik UMS dan NGO rakan menjalankan kajian kuantitatif dan kualitatif menggunakan kaedah persampelan berstrata secara bersemuka, di semua 73 kawasan DUN Sabah.

Seramai 1.78 juta pengundi berdaftar layak memilih wakil rakyat bagi membentuk kerajaan baharu Sabah pada 29 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.