
Timbalan Ketuanya Izuan Kasim berkata fokus sayap itu kini adalah memperkukuh gerak kerja bagi menambah kerusi pada pilihan raya akan datang, termasuk mempertahankan Pandan dan Setiawangsa.
Dua kerusi Parlimen itu dikosongkan selepas Rafizi dan Nik Nazmi meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen masing-masing.
Sambil mengucapkan terima kasih di atas khidmat kedua-duanya dalam PKR, Izuan berkata PKR akan terus bergerak ke depan kerana perjuangannya bukan tentang individu, sebaliknya mengenai rakyat.
“Pemuda PKR mahu fokus kepada gerak kerja di kerusi tumpuan berbanding terperangkap dengan isu Rafizi dan Nik Nazmi,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata PKR juga bersedia berdepan Bersama di Pandan dan Setiawangsa pada PRU akan datang selepas Rafizi dan Nik Nazmi menyatakan hasrat mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket parti baharu itu.
Izuan, yang juga Adun Kota Damansara, berkata sejarah politik selepas Langkah Sheraton menunjukkan pengundi akan menilai tindakan mana-mana pihak yang menyasarkan kerusi PKR.
“Pengundi akan menilai bahawa membentuk kerajaan stabil penting untuk ekonomi dan dasar progresif.
“Kami akan pertahankan kerusi PKR termasuk Pandan, Setiawangsa serta kerusi kumpulan Rafizi pada PRU akan datang,” katanya.
Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar PKR, mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing dan mengambil alih Bersama, parti yang didaftarkan di Pulau Pinang pada 2 Dis 2016.