Chegubard nafi khianat, dakwa kritik parti elak jadi umpan lawan

Chegubard nafi khianat, dakwa kritik parti elak jadi umpan lawan

Ketua Bersatu Port Dickson berkata pemimpin Bersatu juga dilihat seperti tidak berani kritik pemerintah secara tegas.

Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin juga mempersoalkan sama ada Bersatu benar-benar konsisten menentang rasuah atau bersikap selektif apabila melibatkan pemimpin sendiri.
PETALING JAYA:
Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard menafikan tuduhan bahawa beliau pengkhianat kerana buat kritikan terbuka terhadap Presiden Muhyiddin Yassin dan kepimpinan parti.

Chegubard berkata pendedahannya terhadap isu yang melibatkan kepimpinan parti dibuat lebih awal bagi mengelakkan ia dijadikan umpan politik oleh pihak lawan, khususnya menjelang pilihan raya.

“Jadi saya ambil keputusan untuk dedah daripada Anwar Ibrahim yang dedah dahulu dan gunakan ini dalam pilihan raya.

“Saya dedah awal dan sabotaj perancangan Anwar. Isu ini Bersatu perlu jawab,” katanya kepada FMT.

Chegubard menjawab kenyataan Bersatu Negeri Sembilan yang menyifatkan tindakan beliau mengkritik Muhyiddin dan kepimpinan parti sebagai pengkhianatan dan tidak beradab, tidak berdisiplin dan bercanggah dengan adab perjuangan parti, selain merosakkan kestabilan organisasi.

Menurut Bersatu Negeri Sembilan lagi, tindakan itu tidak boleh dianggap sebagai perbezaan pandangan yang sihat, sebaliknya menunjukkan niat untuk memporak-perandakan parti dari dalam ketika jentera di peringkat akar umbi sedang berusaha mendekati rakyat dan mengukuhkan sokongan.

Kenyataan itu dikeluarkan Ketua Bersatu Negeri Sembilan Mohamad Hanifah Abu Baker yang juga Ketua bahagian Rasah selain ketua Bersatu Tampin, Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rembau dan Seremban.

Mengulas lanjut, Chegubard berkata persoalan lebih besar yang perlu dijawab ialah sama ada Bersatu benar-benar berpegang kepada idealisme menentang rasuah secara konsisten atau bersikap selektif apabila melibatkan pemimpin sendiri.

Beliau turut mempersoalkan adakah pemimpin Bersatu telah dipegang pihak tertentu menyebabkan mereka tidak berani mengkritik pemerintah secara tegas.

“Kenapa saya dedah, rakyat Malaysia, media, wartawan semua setuju pembangkang lemah.

“Isu yang dalam rejim terlalu banyak tetapi pembangkang kelihatan lemah, sejuk, lembab, sembab. Ini komen majoriti rakyat Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.