Chegubard ‘pengkhianat’, Bersatu Negeri Sembilan gesa tindakan disiplin

Chegubard ‘pengkhianat’, Bersatu Negeri Sembilan gesa tindakan disiplin

Bersatu Negeri Sembilan mendakwa Chegubard mencetuskan kekacauan dalaman dan mencalar kepimpinan parti.

Bersatu Negeri Sembilan membidas Badrul Hisham Shaharin kerana didakwa kerap menyerang Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Ketua Bersatu Port Dickson Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard wajar dianggap pengkhianat susulan siri kenyataan yang didakwa menyerang presiden Muhyiddin Yassin serta kepimpinan parti secara terbuka.

Bersatu Negeri Sembilan berkata tindakan aktivis itu dilihat tidak lagi bertujuan memperkukuh Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya dilihat mencetuskan kekacauan dalaman serta mencalar imej parti secara terbuka.

“Memandangkan fokus tindakannya kini bukan lagi untuk memperkukuh Bersatu dan PN, tetapi untuk mencetuskan kekacauan dalaman serta mencalar kepimpinan parti secara terbuka, Chegubard wajar dianggap sebagai seorang pengkhianat kepada perjuangan parti,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Ketua Bersatu Negeri Sembilan Mohamad Hanifah Abu Baker yang juga Ketua bahagian Rasah selain ketua Bersatu Tampin, Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rembau dan Seremban.

Bersatu Negeri Sembilan turut menyifatkan tindakan Chegubard mengkritik presiden dan parti sendiri sebagai perbuatan tidak beradab, tidak berdisiplin dan bercanggah dengan adab perjuangan parti, selain didakwa merosakkan kestabilan organisasi.

Menurutnya, tindakan itu tidak boleh dianggap sebagai perbezaan pandangan yang sihat, sebaliknya menunjukkan niat untuk memporak-perandakan parti dari dalam ketika jentera di peringkat akar umbi sedang berusaha mendekati rakyat dan mengukuhkan sokongan.

Selaras pendirian itu, mereka menggesa kepimpinan tertinggi parti mengambil tindakan disiplin tegas dan terhadap mana-mana individu, termasuk Chegubard, yang mengeluarkan kenyataan atau tindakan menjejaskan imej parti serta menggugat kesatuan dalaman.

“Bersatu Negeri Sembilan kekal komited mempertahankan kepimpinan parti, memperkukuh jentera akar umbi dan menumpukan sepenuh tenaga untuk berhadapan dengan musuh sebenar iaitu kerajaan yang gagal menunaikan harapan rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.