
“Perkara ini juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, sebarang perbincangan rentas parti melibatkan sebarang bentuk kerjasama antara Bersatu dan Umno hendaklah diadakan mengikut saluran rasmi parti dengan dihadiri kepimpinan tertinggi dua parti.
“Perbincangan hendaklah diadakan secara telus dengan mengambil kira semua faktor termasuk pandangan rakan-rakan parti anggota
Perikatan Nasional (PN) dan kedudukan Umno dalam kerajaan perpaduan.”
Namun, Muhyiddin mengambil sikap terbuka mengenai ‘kolaborasi agung’ disebut Zahid dengan Bersatu akan menimbangkan cadangan dikemukakan itu setelah mendapat input lebih jelas.
Sebelum ini, Zahid mengesahkan pertemuan dengan beberapa pemimpin daripada PAS dan Bersatu dalam mesyuarat tidak rasmi untuk membincangkan penyatuan orang Melayu melalui sebuah ‘kolaborasi agung’.
Beliau berkata, gabungan besar itu akan melibatkan sekurang-kurangnya 10 pemimpin tertinggi daripada pelbagai parti Melayu-Islam, termasuk presiden, timbalan presiden, dan pemimpin kanan lain.
Zahid menyatakan hasratnya untuk membentuk gabungan besar baharu ini bagi menyatukan semua parti Melayu-Islam di bawah satu payung dalam ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno.
Beliau berkata, gabungan baharu tersebut tidak akan menjadi ancaman kepada kerajaan perpaduan dan memberi jaminan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau tidak mempunyai niat untuk ‘menebuk atap’.