
“Pembentukan blok berasaskan identiti boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakan komponen kerajaan dan masyarakat majmuk,” katanya kepada FMT mengulas cadangan kolaborasi agung untuk menghimpunkan parti politik Melayu-Islam.
Pada Perhimpunan Agung Umno 2025 semalam, Zahid dilaporkan mengakui ada pihak ‘merisik dan meminang’ parti itu untuk kerjasama lebih rapat dan beliau terbuka menerimanya dengan syarat tidak mengganggu kestabilan kerajaan perpaduan.
Jun lalu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad melancarkan ‘jawatankuasa sekretariat orang Melayu’ dalam usaha mengembalikan kuasa komuniti itu dalam kerajaan, namun tiada perkembangan positif sehingga kini dan tidak disambut Umno.
Mahfuz berkata beliau menghormati kedudukan Zahid sebagai rakan dalam kerajaan perpaduan dan pengalamannya berkaitan politik Melayu.
Tetapi, tegasnya cadangan itu perlu diperjelaskan dengan lebih berhati-hati bagi mengelakkan salah tafsir.
Katanya tuntutan sebenar pengundi ketika ini ialah penyelesaian konkrit terhadap isu kenaikan kos sara hidup, peluang ekonomi, integriti kepimpinan dan masa depan generasi muda.
“Orang Melayu bukan menuntut penyatuan slogan, mereka mahukan penyelesaian nyata,” katanya sambil mengingatkan kerajaan perpaduan terbentuk atas kesedaran Malaysia tidak dapat terus bergerak dengan politik kelompok dan memerlukan kesediaan untuk memerintah bersama meskipun berbeza ideologi politik.
Beliau yakin Zahid tidak berniat mengaburkan komitmen terhadap perpaduan nasional, tetapi sebarang bentuk kerjasama politik perlu berdasarkan kepentingan negara dan rakyat.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa cadangan kolaborasi agung itu seolah-olah muslihat politik untuk mengekalkan kerajaan perpaduan.
Katanya, apa yang diperlukan orang Melayu dan rakyat bukanlah gagasan menyokong kerajaan gagal, tetapi payung besar yang berani tampil sebagai penyelesaian serta alternatif terhadap kegagalan itu.
“Mungkin yang diperlukan rakyat ketika ini bukan gabungan parti Melayu-Islam yang ditaja untuk menyokong kerajaan perpaduan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
“Tetapi, satu gagasan payung besar benar-benar ‘genuine’ berjuang untuk kepentingan agama Islam, ummah dan orang Melayu, Bumiputera serta dapat menjadi alternatif kepada kerajaan sedia ada.”