Wan Saiful mulakan saman RM10 juta terhadap Tun Faisal

Wan Saiful mulakan saman RM10 juta terhadap Tun Faisal

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata tindakan diambil susulan kenyataan didakwa bersifat fitnah berkaitan isu Jana Wibawa.

Wan Saiful Wan Jan antara lain menuntut Tun Faisal Ismail Aziz memohon maaf dan menarik balik kenyataannya.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan memulakan tindakan undang-undang dengan menuntut pampasan RM10 juta terhadap Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz, susulan dakwaan fitnah berhubung isu program Jana Wibawa, tahun lalu.

Wan Saiful berkata Tun Faisal membuat kenyataan itu menerusi saluran YouTube “The Tiger Show Podcast” pada 31 Okt 2025 dengan peguamnya Tetuan Bahar Rusnan & Associates telah menghantar surat tuntutan pada 3 Dis lalu.

Menurutnya, surat itu antaranya menuntut kenyataan itu ditarik balik sepenuhnya selain permohonan maaf secara bertulis dan dalam bentuk video mengikut terma akan ditetapkannya.

“Jaminan bertulis kenyataan sama tidak akan diulangi oleh Tun Faisal atau mana-mana pihak bertindak bagi pihaknya.

“Surat tuntutan itu juga menuntut supaya Tun Faisal menanggung rugi dan segala kos dan perbelanjaan yang telah dan akan ditanggung, selain membayar pampasan ganti rugi berjumlah RM10 juta,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Wan Saiful, kegagalan memenuhi tuntutan itu akan mengakibatkan tindakan undang-undang diambil terhadap Tun Faisal.

Beliau turut memaklumkan menerima surat jawapan balas daripada peguam Tun Faisal bertarikh 12 Jan 2026, yang kini sedang diteliti peguamnya sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.

“Saya tegaskan saya memelihara dan mengekalkan segala hak di bawah undang-undang berhubung perkara ini tanpa sebarang prejudis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.