Ratusan penduduk Pulau Redang, Pulau Perhentian pindah akibat banjir

Ratusan penduduk Pulau Redang, Pulau Perhentian pindah akibat banjir

Hujan lebat berterusan disertai fenomena air pasang besar menyebabkan banjir melanda pulau peranginan popular di Terengganu itu.

banjir kg baru pulau redang
Seramai 369 mangsa daripada 81 keluarga dari Kampung Baru, Pulau Redang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Kampung Pulau Redang. (Gambar APM)
PETALING JAYA:
Beratus-ratus penduduk di Pulau Redang dan Pulau Perhentian terpaksa dipindahkan selepas banjir melanda pulau peranginan popular di Terengganu itu.

Penduduk di kedua-dua pulau itu berkata banjir berlaku secara mengejut akibat hujan lebat berterusan disertai fenomena air pasang besar, lapor Bernama.

Setakat 1 tengah hari tadi sebanyak 369 mangsa daripada 81 keluarga dari Kampung Baru, Pulau Redang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Kampung Pulau Redang.

Di Pulau Perhentian, satu PPS dibuka di SK Pulau Perhentian dengan menempatkan 44 mangsa daripada 11 keluarga.

Seorang penduduk Pulau Redang, Azmi Awang, 38, berkata penduduk tidak panik kerana kejadian banjir seperti itu adalah fenomena biasa berlaku di pulau tersebut.

“Hujan lebat yang bertembung dengan fenomena air pasang mengakibatkan kawasan di Kampung Pulau Redang dilanda banjir. Air naik sangat cepat menyebabkan rumah ibu saya dinaiki air sejak semalam.

“Mujurlah kami sempat menyelamatkan barangan elektrik dan dokumen penting. Difahamkan air banjir di luar kawasan rumah mencecah paras lutut,” katanya sambil menambah laluan ke jeti juga tidak boleh dilalui kerana dinaiki air.

Bagaimanapun, Azmi berkata bekalan makanan dan kemudahan asas lain mencukupi sepanjang tempoh banjir hasil bantuan pihak berkuasa terlibat.

Penduduk kampung di Pulau Perhentian, Mohd Deraman, 68, pula berkata penduduk menyedari air sudah memenuhi kawasan halaman rumah pada awal pagi tadi.

“Hujan tanpa henti sejak malam Sabtu menimbulkan kebimbangan penduduk. Paras air mula meningkat sejak 6 pagi menyebabkan beberapa rumah dan laluan utama di kampung itu dinaiki air hingga hampir satu meter.

“Ramai penduduk tidak sempat buat persiapan awal sebab air naik terlalu cepat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.