KJ dijangka kembali ke pangkuan Umno, menurut laporan

KJ dijangka kembali ke pangkuan Umno, menurut laporan

Sumber berkata Presiden Umno Zahid Hamidi secara peribadi memberi isyarat kepada Khairy Jamaluddin supaya menghantar borang keahlian untuk kembali ke parti itu.

Khairy Jamaluddin
Bekas menteri kesihatan dan Ahli Parlimen Rembau tiga penggal Khairy Jamaluddin dipecat Umno pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti ketika PRU15.
PETALING JAYA:
Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin dijangka kembali menyertai Umno menjelang PRN Sabah bulan depan selepas dikatakan mendapat “restu” pimpinan tertinggi parti.

Sumber berkata, Presiden Umno, Zahid Hamidi secara peribadi memberi isyarat restu itu kepada Khairy untuk kembali ke pangkuan parti berkenaan ketika mereka menghadiri majlis perkahwinan anak Pengerusi Umno Perlis, Rozabil Abdul Rahman, Ahad lalu.

“Pada pertemuan itu, Zahid sendiri memaklumkan supaya Khairy menghantar borang keahliannya untuk kembali menjadi ahli Umno,” katanya menurut Berita Harian.

Sumber itu berkata, kehadiran Khairy dijangka dapat membantu kempen Umno dan Barisan Nasional (BN) pada PRN Sabah memandangkan sebahagian calon seusia atau rakan politiknya.

Katanya, BN turut mempertimbangkan untuk menamakan Khairy sebagai calon BN bagi PRU16 di kerusi Parlimen Kepala Batas, kawasan yang pernah diwakili bapa mentuanya, Abdullah Ahmad Badawi.

Tetapi, sumber Umno berkata, parti itu belum menerima sebarang permohonan daripada Khairy setakat ini.

Khairy dipecat Umno pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti ketika PRU15.

Bekas menteri kesihatan dan Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal itu secara terbuka mengkritik Zahid menjelang PRU15, khasnya selepas BN memilihnya bertanding di kubu kuat Pakatan Harapan di Sungai Buloh.

Beliau tewas kepada calon PKR, R Ramanan dengan majoriti 2,693 undi pada PRU15.

Khairy enggan merayu pemecatannya atas alasan orang sama yang memecatnya masih bersama Umno.

Tetapi, Julai lalu, beliau dilaporkan berkata akan mempertimbangkan tawaran Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh untuk membantu memudahkannya kembali ke pangkuan parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.