
Setiausaha Agung PN, Azmin Ali, mengumumkan Saifuddin digantikan dengan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga ketua pembangkang DUN Pahang berkuat kuasa esok.
Selain Saifuddin, turut digugurkan Adun Bemban Dr Yadzil Yaakub sebagai pengerusi PN Melaka yang digantikan dengan Ketua Wanita PN Mas Ermieyati Samsudin.
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim pula menggantikan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli sebagai ketua PN negeri itu.
Azmin turut mengumumkan Menteri Besar Sanusi Nor kekal pengerusi PN Kedah, Dr Sahruddin Jamal (Johor), Ahmad Yakob (Kelantan), Mohamed Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan) dan Ahmad Faizal Azumu (Perak).
Dominic Lau Hoe Chai (Pulau Pinang), Ronald Kiandee (Sabah), Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak), Azmin (Selangor), Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu) dan Radzi Jidin (Wilayah Persekutuan).
Menurut Azmin, keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN dipengerusikan Muhyiddin selaku ketua komponen itu, malam ini.
“Majlis Tertinggi bersetuju dengan pelantikan pengerusi negeri yang baharu sebagai sebahagian usaha memperkukuhkan wadah perjuangan PN sebagai gabungan politik yang inklusif, progresif dan prihatin rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Saifuddin mengetuai PN Pahang sejak penubuhan gabungan itu.
Kelmarin, Saifuddin dilaporkan mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan presiden Bersatu dengan mendakwa bekas perdana menteri itu sudah kehilangan kualiti kepimpinan, sebagaimana dimiliki ketika awal menubuhkan parti.
Katanya, cara Muhyiddin menguruskan kepimpinan tertinggi parti tidak lagi inklusif dan ia termasuk kegagalan dalam mengadakan mesyuarat MPT.