Pemimpin MIC tak senang Zahid beri kata dua

Pemimpin MIC tak senang Zahid beri kata dua

Seorang pemimpin berkata MIC sedia kongsi visi bagaimana BN boleh berevolusi dan bangkit lebih kuat, namun ego Zahid Hamidi menghalang perbincangan bermakna.

Nelson Renganathan, Zahid and T Mohan
Pemimpin MIC, Nelson Renganathan dan T Mohan sifat ancaman Pengerusi BN Zahid Hamidi sebagai ‘diktator’ dan paparan kesombongannya.
PETALING JAYA:
Dua pemimpin MIC menyuarakan tidak senang dengan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi bahawa gabungan itu mungkin campur tangan, jika parti mereka gagal menentukan masa depan sendiri.

Mereka berkata, tidak adil Zahid mengeluarkan kenyataan sedemikian, terutama kepada rakan setianya selama 60 tahun.

Tambahnya, keputusan MIC menilai semula masa depan dalam gabungan itu hanyalah satu usaha menyesuaikan diri dan kekal relevan dalam landskap politik yang sedang berubah.

Naib Presiden MIC, Nelson Renganathan, berkata Zahid mungkin sedang ‘bermimpi’ jika percaya BN mampu bertahan selamanya dalam keadaan sekarang.

“Tiada empayar di dunia ini kekal selamanya. Bukan Rom, Uthmaniyyah, British atau lain-lain. Jadi, BN hanya bermimpi jika mahu kekal selamanya dalam bentuknya sekarang,” katanya kepada FMT.

“Inilah asas mengapa MIC mahu mempertimbangkan pilihan lain dalam haluannya. Nampaknya, dalam kalangan semua parti komponen BN, MIC menonjol sebagai satu-satunya parti yang faham keperluan berevolusi pada masa sesuai, iaitu sekarang,” katanya.

Renganathan berkata, MIC ‘berbesar hati’ berkongsi visi evolusinya dengan rakan kongsi BN, namun menggambarkan ‘ego Zahid menghalang perbincangan bermakna’. Beliau berkata, ini merupakan kes yang mana satu parti dominan mahu segalanya mengikut telunjuk mereka.

Pada Perhimpunan Agung Tahunan bulan lalu, perwakilan MIC putus untuk tangguh keputusan sama ada mahu meninggalkan atau kekal dalam BN, dengan Presiden SA Vigneswaran mengesahkan semua usul, termasuk usul keluar BN, yang akan dirujuk kepada Jawatankuasa Kerja Pusat bagi pertimbangan.

Sebelum ini, Zahid berkata status MIC akan dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN tahun hadapan, namun kemudian memberi amaran BN akan menentukan nasib MIC jika parti itu masih tidak dapat menentukan masa depan dalam komponen berkenaan.

Bekas Naib Presiden MIC, T Mohan, menyifatkan kenyataan Zahid bersifat ‘diktator’ dan menyifatkan ia ‘salah melayan MIC sebegitu’, memandangkan gabungan itu kini berada pada tahap paling lemah.

“Ini merupakan satu kesombongan di pihak Zahid, yang menjadi punca utama BN dalam keadaan begitu lemah hari ini. Kepimpinan lemahnya akan menenggelamkan BN tidak lama lagi.”

“Beliau dianggap ‘beban’ kepada BN, dan sudah tiba masa beliau berundur. Tanpanya, BN mampu menang semula sokongan yang hilang dan menjadi kuat seperti dulu,” katanya kepada FMT.

Mohan berkata, MIC dalam sejarahnya memberikan undi kepada BN, namun Umno tidak mengendahkan sumbangan parti itu.

Beliau berkata, tindakan MIC berkira-kira ingin meninggalkan gabungan mencerminkan rasa tidak puas hati terhadap cara gabungan itu dilayan, merujuk kepada Umno.

“Zahid menyerlahkan ketamakannya dengan hanya menawarkan jawatan menteri kepada Umno. BN akan berdepan masalah pada PRU akan datang jika MIC keluar menyertai gabungan pembangkang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.