Duta AS nafi perjanjian dagangan jejas kedaulatan Malaysia

Duta AS nafi perjanjian dagangan jejas kedaulatan Malaysia

Edgard D Kagan berkata perjanjian itu menandakan fasa baharu hubungan lebih erat antara kedua-dua negara.

Edgard D Kagan berkata kedua-dua kerajaan boleh membincangkan sebarang syarat yang menjejaskan kepentingan salah satu pihak melalui saluran diplomatik yang betul.
KUALA LUMPUR:
Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia menafikan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Washington dan Putrajaya menjejaskan kedaulatan negara.

Edgard D Kagan Malaysia membuat keputusan secara berdaulat untuk menandatangani perjanjian berkenaan.

“Perjanjian ini sebenarnya melindungi kedaulatan Malaysia kerana ia jelas menunjukkan Malaysia memilih mengukuhkan hubungan dengan AS,” katanya pada sidang media.

Kagan turut menyifatkan beberapa syarat dipertikaikan pengkritik sebagai perkara biasa.

Menurutnya, sekiranya mana-mana peruntukan memberi kesan kepada kepentingan salah satu pihak, kedua-dua kerajaan boleh membincangkannya melalui saluran diplomatik yang sewajarnya.

“Ini perkara biasa antara rakan rapat,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Azmin Ali, mendakwa perjanjian itu akan menjejaskan kedaulatan ekonomi negara.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata antara klausa paling merugikan ialah keperluan Malaysia meniru sekatan perdagangan atau larangan yang dikenakan AS terhadap negara lain.

Bagaimanapun, Kagan menegaskan sekali lagi perjanjian itu mencerminkan keputusan Malaysia yang bebas dan berdaulat untuk memperkukuh hubungan ekonomi dengan AS.

Malaysia dan AS semalam menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas yang meliputi pelbagai sektor, bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran dan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.

Melalui perjanjian itu, Malaysia bersetuju memberi akses pasaran istimewa kepada eksport barangan industri AS seperti bahan kimia, jentera dan peralatan elektrik, logam serta kenderaan penumpang.

Ia turut meliputi barangan pertanian seperti produk tenusu, ayam dan beras.

AS pula mengekalkan tarif timbal balas sebanyak 19% terhadap barangan Malaysia, dengan beberapa produk tertentu menikmati kadar sifar di bawah senarai rakan perdagangan sejajar.

Kagan berkata perjanjian itu juga menandakan perubahan ke arah hubungan perdagangan yang lebih seimbang selepas sekian lama memihak kepada Malaysia.

“Pasaran AS selama ini jauh lebih terbuka kepada Malaysia berbanding pasaran Malaysia kepada Amerika.

“Perjanjian ini direka untuk memastikan kedua-dua pihak membuka pasaran seluas yang boleh,” katanya.

Walaupun ada kebimbangan mengenai kelewatan pelaksanaan dan struktur tarif, beliau yakin perjanjian itu akhirnya akan mewujudkan peluang serta manfaat ekonomi bersama untuk kedua-dua pihak.

Menurutnya, data perdagangan juga menunjukkan tanda awal kejayaan perjanjian itu apabila eksport Malaysia ke AS meningkat ketara tahun ini walaupun berlaku pelarasan tarif, manakala eksport AS ke Malaysia turut mencatatkan peningkatan.

Kagan turut menekankan sumbangan jangka panjang syarikat-syarikat AS dalam ekonomi Malaysia, dengan menyatakan mereka ‘membayar gaji dua kali lebih tinggi daripada purata gaji rakyat Malaysia’.

Jelasnya, pelaburan mereka membantu membangunkan ekosistem semikonduktor dan teknologi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.