Sukar terjemah undang-undang ke bahasa Melayu, kata peguam

Sukar terjemah undang-undang ke bahasa Melayu, kata peguam

Balwant Singh dan Ameir Hassan berkata mungkin terdapat kesukaran untuk menterjemah undang-undang dengan tepat, dan terjemahan yang salah boleh menimbulkan kekeliruan.

Che Mohamad Zulkifly Jusoh
Minggu lalu, Ahli Parlimen Besut Che Mohamad Zulkifly Jusoh menggesa kerajaan mewujudkan garis masa yang muktamad untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa autoritatif bagi semua perundangan negara. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua peguam mempersoalkan keberkesanan cadangan menukar semua undang-undang negara kepada bahasa Melayu menjelang 2030, dengan alasan terdapat kesukaran besar untuk menterjemah secara tepat undang-undang lama yang asalnya digubal dalam bahasa Inggeris.

Balwant Singh berkata, inisiatif itu memerlukan kerjasama rapat antara ahli bahasa dan pakar undang-undang dalam pelbagai bidang yang mahir dalam kedua-dua bahasa tersebut.

Balwant Singh
Balwant Singh.

“Walaupun undang-undang terdahulu yang diluluskan dalam bahasa Inggeris boleh diterjemah ke dalam bahasa Melayu, ia merupakan tugas yang amat besar dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa atau diserahkan kepada agensi terjemahan semata-mata,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, keseluruhan sesuatu kes boleh bergantung kepada maksud yang diberikan kepada satu perkataan tertentu.

Balwant turut berkata, akan menjadi cabaran besar untuk menterjemah kebanyakan penghakiman mahkamah atasan yang ditulis dalam bahasa Inggeris, dengan risiko sebenar berlakunya kesilapan dalam versi terjemahan.

Kesilapan terjemahan, katanya, boleh membuka ruang kepada lebih banyak pertikaian dan menimbulkan kekeliruan, sekali gus menjejaskan prinsip asas undang-undang bahawa ‘undang-undang mesti jelas, atau sekurang-kurangnya boleh ditentukan dengan pasti.’

Beliau mengimbas satu kejadian apabila seorang anak guamnya berbangsa Melayu keliru dengan frasa ‘awak dilepaskan tanpa dibebaskan’ — terjemahan kepada ‘discharged not amounting to an acquittal’ (DNAA).

“Dia berpaling kepada saya dan bertanya: ‘Jadi, saya boleh pulang sekarang?’ Begitulah lemahnya bahasa dan terjemahan,” katanya.

Peguam kanan itu menambah, sebarang usaha untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai naskhah autoritatif bagi undang-undang negara juga mesti mengambil kira kedudukan perlembagaan Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa bahasa Inggeris kekal sebagai bahasa rasmi mahkamah di Sabah dan Sarawak, melainkan jika Dewan Undangan Negeri masing-masing memutuskan sebaliknya.

Minggu lalu, seorang Ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa autoritatif bagi semua undang-undang negara menjelang 2030.

Ahli Parlimen Besut Che Mohamad Zulkifly Jusoh dari PAS, berkata teks autoritatif bagi kebanyakan undang-undang masih dalam bahasa Inggeris walaupun Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 telah diluluskan lebih enam dekad lalu.

Sementara itu, Ameir Hassan berkata, peralihan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu merupakan ‘tugas yang sukar’ bagi pengamal undang-undang kerana ia memerlukan mereka fasih dalam bahasa Melayu pada tahap teknikal dan juga umum.

Beliau berkata, peralihan seperti itu hanya boleh dicapai sekiranya tahap kemahiran purata rakyat Malaysia dalam bahasa kebangsaan menyamai tahap di Indonesia, di mana setiap warganya dianggap mempunyai penguasaan kukuh terhadap bahasa kebangsaan tanpa mengira latar belakang kaum.

“Hanya apabila kita mencapai tahap itu, barulah kita boleh yakin bahawa keadilan dapat diperkukuh dalam bahasa Melayu. Jika tidak, kita perlu menggunakan bahasa Inggeris demi keadilan kerana ia lebih difahami dalam kalangan perundangan kita.”

Ameir turut berkata, terdapat frasa undang-undang tertentu yang lebih tepat dinyatakan dalam bahasa asalnya bagi memastikan maksud yang dimaksudkan disampaikan secara jelas. Beliau berkata, sistem perundangan Inggeris sendiri masih menggunakan frasa dalam bahasa asal seperti istilah Latin ‘prima facie’.

Terjemahan bulat-bulat yang tidak memuaskan boleh ‘membawa maksud berbeza dan menyebabkan ketidakadilan’ di mahkamah, kata Ameir.

“Banyak undang-undang Malaysia diperkenalkan dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh, bagaimana anda mahu menggantikan istilah ‘tort’ dengan perkataan Melayu yang benar-benar sepadan?” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.