
Beliau berkata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa perbincangan diadakan dengan sekolah antarabangsa, institusi tahfiz dan Gabungan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), yang turut membangkitkan isu berkaitan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Menteri pendidikan berkata mesyuarat (yang diadakan minggu ini) berjalan dengan sangat baik dan terdapat penyelarasan mengenai apa yang kerajaan berhasrat untuk laksanakan.
“Perkara ini diterima baik oleh semua pihak yang hadir,” katanya pada sidang media.
Baru-baru ini kerajaan mengumumkan semua sekolah di Malaysia, termasuk sekolah agama, antarabangsa dan swasta, diwajibkan mengajar bahasa Melayu dan sejarah kepada semua pelajar warga Malaysia.
Dasar itu akan dilaksanakan dalam waktu persekolahan rasmi dan terpakai kepada semua institusi, termasuk yang menawarkan UEC.
Fahmi berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi akan mengadakan perbincangan minggu depan dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi meneroka laluan kemasukan pelajar UEC ke universiti awam.
Beliau juga berkata, beberapa tindakan susulan sudah mula dilaksanakan, termasuk persediaan melibatkan kira-kira 20,000 guru bagi sesi persekolahan tahun depan.
“Persiapan sedang dijalankan,” katanya.