Ahli Parlimen PJ persoal kerajaan Selangor rahsia dokumen SIP

Ahli Parlimen PJ persoal kerajaan Selangor rahsia dokumen SIP

Lee Chean Chung dakwa kerajaan negeri beri alasan dokumen Sistem Parkir Pintar diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi kerana boleh ancam keselamatan negara.

Lee Chean Chung
Lee Chean Chung berkata imej kerajaan Selangor tercalar kerana menolak permohonan penduduk untuk mendapatkan dokumen berkaitan Sistem Parkir Pintar (SIP).
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung meminta kerajaan Selangor menjelaskan tindakan yang didakwa menolak permohonan penduduk untuk mendapatkan dokumen berkaitan Sistem Parkir Pintar (SIP) bawah Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) negeri itu.

Lee mendakwa, permohonan berkenaan ditolak atas alasan dokumen itu diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) kerana dikatakan boleh ‘mengancam keselamatan atau pertahanan negara’.

“Bagaimana kontrak pengurusan parkir yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat boleh dianggap mengancam keselamatan negara?” soalnya dalam kenyataan.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu berkata, tindakan tersebut mencalar imej kerajaan negeri yang selama ini berbangga dengan dasar ketelusan dan kebertanggungjawaban.

“Jika projek itu dijalankan melalui tender terbuka dan proses yang betul, kenapa perlu disembunyikan? Tiada sebab untuk merahsiakannya,” katanya, merujuk kenyataan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Amirudin sebelum ini menjelaskan, projek SIP tidak diberi melalui rundingan terus, sebaliknya dilaksanakan melalui proses tender terbuka.

Katanya, MBI Selangor mengeluarkan permohonan cadangan (RFP) pada awal 2025 dengan 26 syarikat mengambil bahagian dan tiga disenarai pendek.

“Jika benar tender terbuka dijalankan, sepatutnya ada dokumentasi terbuka yang menyokongnya. Menolak akses walaupun melalui mekanisme FOI bercanggah dengan semangat ketelusan yang sering dilaungkan kerajaan negeri,” kata Lee.

SIP adalah inisiatif untuk menyatukan sistem kutipan parkir di seluruh negeri bawah satu aplikasi tunggal dikendalikan MBI Selangor.

Namun, projek itu mencetuskan kontroversi apabila beberapa penduduk dan aktivis mendakwa wujud unsur tidak telus dalam pelaksanaannya.

Empat PBT terlibat dalam fasa pertama pelaksanaan terdiri Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.