Letak jawatan menteri jika AGC rayu keputusan hasil Sabah, Ewon didesak

Letak jawatan menteri jika AGC rayu keputusan hasil Sabah, Ewon didesak

Konvensyen Upko Penampang turut luluskan resolusi desak Putrajaya patuhi keputusan mahkamah, capai persetujuan dalam 180 hari.

Ewon Benedick
Presiden Upko Ewon Benedick berkata, beliau telah memaklumkan kepada perdana menteri, timbalan-timbalan perdana menteri serta menteri lain mengenai pendiriannya agar AGC tidak membuat rayuan.
PETALING JAYA:
Upko Penampang mendesak presiden parti, Ewon Benedick, agar meletak jawatan menteri sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah berhubung hak Sabah ke atas 40% hasil persekutuan diperoleh daripada negeri itu.

Desakan itu dibuat menerusi satu resolusi yang diluluskan dalam konvensyen bahagian itu hari ini, yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Upko Donald Peter Mojuntin.

Menurut laporan Borneo Daily Bulletin, resolusi itu menyokong penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dalam semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society.

Satu lagi resolusi turut diluluskan bagi menggesa Putrajaya mematuhi keputusan mahkamah dan memuktamadkan perjanjian pembayaran perkongsian hasil itu dalam tempoh 180 hari.

“Kami menggesa Ewon, selaku wakil Sabah dalam kerajaan persekutuan, supaya menimbang untuk meletak jawatan daripada Jemaah Menteri jika AGC tetap mahu membuat rayuan,” tegas Donald, yang juga ketua Upko Penampang.

“Upko akan sentiasa sependirian dengan rakyat Sabah dan kekal komited mempertahankan hak-hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan, yang menjadi prinsip teras perjuangan parti.”

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Jumaat memutuskan kerajaan persekutuan bertindak menyalahi undang-undang kerana gagal menyerahkan hak 40% hasil bersih persekutuan yang diperoleh dari Sabah selama hampir 50 tahun.

AGC semalam memaklumkan, pihaknya akan mengkaji penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan susulan.

Menurut kenyataannya, antara isu utama yang menjadi pertikaian ialah tafsiran perundangan terhadap Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 112C menyentuh tentang pemberian geran khas dan penyerahan hasil kepada Sabah dan Sarawak, manakala Perkara 112D memperuntukkan mengenai semakan semula geran tersebut secara berkala.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.