Keputusan Indira Gandhi tak terpakai kepada pengislaman kanak-kanak sebelum 2018

Keputusan Indira Gandhi tak terpakai kepada pengislaman kanak-kanak sebelum 2018

Mahkamah Tinggi berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu hanya terpakai ke hadapan dan tidak membatalkan pengislaman yang didaftarkan sebelum keputusan dibuat.

Mahkamah Majistret Ayer Keroh
Mahkamah Tinggi Melaka menolak permohonan seorang wanita berusia 28 tahun untuk membatalkan pengislamannya secara sebelah pihak pada 2009. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Melaka menolak permohonan seorang wanita untuk membatalkan pengislamannya ketika kanak-kanak, selepas memutuskan keputusan kes Indira Gandhi pada 2018 tidak terpakai kepada pengislaman sebelah pihak didaftarkan sebelum itu.

Pesuruhjaya Kehakiman S Raja Segaran berkata isu utama dalam kes itu ialah sama ada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi Mutho lawan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & Ors boleh membatalkan pengislaman yang didaftarkan sembilan tahun lebih awal.

Dalam kes Indira Gandhi, Mahkamah Persekutuan memutuskan pengislaman kanak-kanak bawah umur dengan persetujuan hanya seorang ibu atau bapa adalah tidak sah kerana bercanggah dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Sewaktu membacakan keputusan panel lima hakim, Zainun Ali, hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu berkata perkataan ‘parent’ dalam Perkara 12(4) perlu ditafsirkan sebagai merujuk kepada kedua-dua ibu bapa, selagi mereka masih mempunyai hak undang-undang terhadap anak berkenaan.

Bagaimanapun, Raja Segaran berkata keputusan Indira Gandhi secara jelas menetapkan ia hanya berkuat kuasa ke hadapan.

“Dalam kes Indira Gandhi dengan jelas mengarahkan keputusan mempunyai kesan prospektif. Arahan itu mengikat dan mesti dipakai,” katanya dalam penghakiman setebal 74 muka surat.

Katanya, ini bermaksud kesan keputusan itu terhadap kesahan rasmi pengislaman hanya terpakai kepada pengislaman yang didaftarkan selepas tarikh keputusan berkenaan.

“Pengislaman sebelum 2018 tidak terbatal kerana peraturan persetujuan kedua-dua ibu bapa, tanpa mengira sama ada kedua-dua mereka memberi persetujuan secara rasmi,” katanya.

Kes itu difailkan oleh seorang wanita berusia 28 tahun yang memohon deklarasi mahkamah bahawa beliau menganut agama Hindu dan pengislamannya ketika kecil adalah tidak sah sejak awal.

Wanita itu, yang dilahirkan di luar perkahwinan kepada ibu bapa beragama Hindu, berkata ibunya memeluk Islam pada 2005 sebelum mengislamkannya empat tahun kemudian ketika beliau berusia 11 tahun, tanpa persetujuan bapanya.

Beliau mendakwa dipaksa memeluk Islam dan tidak memahami agama itu dengan sewajarnya kerana dibesarkan dalam persekitaran Hindu, termasuk ke kuil dan menyertai upacara keagamaan Hindu.

Namun, mahkamah mendapati proses pengislamannya sah dari segi undang-undang pada zahirnya mengikut Seksyen 95, 100 dan 105 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Melaka 2002.

Raja Segaran turut menolak dakwaan paksaan, selepas mengambil kira percanggahan antara afidavit ibu wanita itu pada 2025 dan akuan berkanun yang dibuat pada 2009.

Mahkamah juga mendapati wanita itu gagal membuktikan bahawa beliau tidak pernah menganut Islam.

Raja Segaran berkata, dari sudut perlembagaan, terdapat perbezaan antara ‘menganut’ dan ‘mengamalkan’ Islam.

Katanya, amalan agama Hindu tidak secara automatik menafikan bahawa seseorang itu menganut Islam, khususnya apabila rekod rasmi dan kelakuannya sebagai orang dewasa menunjukkan sebaliknya.

Susulan itu, mahkamah menolak permohonan wanita itu untuk mengarahkan Majlis Agama Islam Melaka, kerajaan negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara meminda nama atau status agamanya dalam rekod rasmi.

Bagaimanapun, Raja Segaran tidak memerintahkan wanita itu membayar kos kepada defendan.

Menurut penghakiman itu, mahkamah mengambil kira bahawa perintah kos yang terlalu tinggi boleh menghalang pihak yang mempunyai asas munasabah daripada mendapatkan penyelesaian undang-undang, khususnya dalam kes membabitkan persoalan identiti perlembagaan dan bidang kuasa.

Walaupun mengesahkan keputusan Indira Gandhi sebagai duluan mengikat, Raja Segaran berkata keputusan itu masih meninggalkan beberapa persoalan perlembagaan berhubung Perkara 12(4) yang belum diselesaikan.

Antaranya ialah sama ada penggunaan perkataan tunggal “parent” oleh penggubal Perlembagaan memang bertujuan membezakannya daripada ‘parents’; sama ada teks Bahasa Malaysia ‘ibu atau bapanya atau penjaganya’ mempunyai kepentingan perlembagaan di bawah Perkara 160B; dan sama ada penggunaan frasa ‘ibu, bapa atau penjaga’ dalam enakmen negeri selama beberapa dekad mencerminkan pemahaman yang diterima ketika itu terhadap Perkara 12(4).

Peguam Pavitra Loganathan dan Darshela Hari Raja mewakili wanita itu, Nazri Hamid mewakili Majlis Agama Islam Melaka, manakala Peguam Kanan Persekutuan Norafiah Saini dan Khairul Azreem Mamat mewakili kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.