
Beliau turut mempersoalkan tindakan mempermain serta mempersenda dengan menggelarnya ‘perdana menteri telefon’.
Katanya, dengan usaha yang dianggap ‘kecil’ itu berhasil antaranya membantu usaha mendamaikan konflik membabitkan kemboja dan Thailand.
“Ahli-ahli Parlimen ini bertindak mempermainkan dengan menyatakan ini Perdana Menteri telefon, sedangkan dengan telefon itulah kita bantu damaikan Kemboja dengan Thailand.
“Dengan telefon itulah kita menyertai usaha-usaha orang lain, melakukan usaha kecil kita bersama,” katanya memetik Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat di Politeknik Merlimau, Melaka.
Malah, Anwar berkata, beliau turut dihubungi kerajaan Qatar supaya menyokong usaha membawa menteri pertahanan Afghanistan dan menteri Pakistan ke arah perdamaian.
“Oleh kerana kita ada hubungan baik dengan Pakistan dan Afghanistan, diminta untuk kita menekankan, menggesa dua-dua negara ini cari jalan damai yang sekarang sedang dirunding di Doha, Qatar.
“Ini yang kita kerjakan, menghubungi tiga negara ini kerana kita diminta dalam keadaan kita adalah negara kecil, tetapi Alhamdulillah, dapat penghormatan (sedemikian).
“Jadi apa salah kita? Bukan kita hantar ke sana ratusan juta ringgit, cuma hanya bercakap, menggesa mereka membantu dan Alhamdulillah hari ini mereka terus berunding dan kita harap hubungan dua negara ini kembali aman kerana dengan peperangan ini akan sebabkan rakyat terdera dan tersiksa,” katanya.