
Pakar Perundangan Kanak-kanak dan Keluarga, Noor Aziah Mohd Awal, berkata jawatankuasa itu dapat meneliti secara terperinci setiap isu membabitkan masalah sosial kanak-kanak, selain mencari kaedah sesuai dalam usaha menangani permasalahan secara menyeluruh sehingga ke akar umbi.
“Kami (pakar kanak-kanak) telah lama mencadangkan supaya satu jawatankuasa dibentuk untuk melihat kepada kenapa ia berlaku.
“Saya rasa kalau kita nak selesai masalah, kita kena lihat punca. Jadi, kalau punca itu datang dari rumah, pengaruh media sosial, atau rakan sebaya, kita kena selesai dari puncanya,” katanya kepada FMT.
Ditanya sama ada kerajaan perlu menghidupkan semula hukuman rotan, Aziah yang juga bekas pesuruhjaya kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), tidak bersetuju dan menganggap ia bukan pendekatan sesuai ketika ini kerana boleh memburukkan lagi keadaan.
“Bagi saya, kekerasan akan menyebabkan anak jadi ‘keras’, sebab keganasan dengan keganasan tak boleh selesai masalah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Kartini Aboo Talib @ Khalid, berkata langkah melarang pelajar bawah 16 tahun memiliki akaun media sosial boleh dianggap sebahagian daripada pendekatan disiplin, namun keberkesanannya bergantung kepada pelaksanaan dan sokongan ekosistem pendidikan.
“Daripada larangan menyeluruh, kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaan telefon pintar secara terkawal seperti aplikasi pemantauan khas untuk pelajar, pendidikan literasi digital dan etika penggunaan teknologi, serta pendidikan karakter dan empati melalui kurikulum dan aktiviti kokurikulum yang menekankan sifat dan tindakan hormat rakan sebaya,” katanya.
Semalam, jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata Jemaah Menteri bincang menaikkan had umur minimum pengguna media sosial kepada 16 tahun, daripada 13 tahun yang dicadang sebelum ini.
Menteri komunikasi berkata, ia akan dikuatkuasakan melalui pendaftaran berdasarkan dokumen pengenalan diri rasmi seperti MyKad, pasport serta MyDigital ID.