UMS tangguh konvokesyen, beri ruang warga universiti mengundi PRN Sabah

UMS tangguh konvokesyen, beri ruang warga universiti mengundi PRN Sabah

Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata tarikh baharu majlis konvokesyen berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

universiti malaysia sabah
UMS dalam kenyataan berkata, pihaknya menghormati dan memberi ruang kepada seluruh warga universiti, graduan serta masyarakat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Universiti Malaysia Sabah (UMS) menangguhkan majlis konvokesyen ke-27 memandangkan ia bertembung PRN Sabah dijadual berlangsung 29 Nov ini.

UMS berkata, tarikh baharu majlis konvokesyen berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Perkara ini berikutan pengumuman rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh PRN Sabah yang dijadualkan berlangsung pada 29 Nov 2025 yang merupakan tarikh asal Majlis Konvokesyen UMS.

“Bagi menghormati dan memberi ruang kepada seluruh warga universiti, graduan serta masyarakat untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi, pihak universiti sedang meneliti dan menyelaras tarikh baharu yang sesuai bagi pelaksanaan majlis tersebut,” katanya menurut kenyataan.

Dalam kenyataan itu, pihak universiti memaklumkan tarikh baharu dan atur cara Majlis Konvokesyen UMS akan dimaklumkan secara rasmi melalui laman web universiti serta platform media sosial rasmi UMS.

“Pihak universiti amat menghargai kesabaran semua pihak dalam perkara ini bagi memastikan majlis konvokesyen tetap berlangsung dalam suasana yang terbaik dan harmoni buat para graduan serta ahli keluarga.”

Terdahulu hari ini, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berpandangan istiadat Konvokesyen UMS pada 29 Nov ini tidak akan menjejaskan proses pengundian bagi PRN Sabah.

Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata SPR telah mengambil kira semua aspek secara menyeluruh sebelum membuat ketetapan, termasuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula pada 3 Nov.

‎”Kemungkinan SPR sudah membuat persiapan dengan UMS…dewan UMS tidak digunakan untuk proses pengundian, ibu bapa yang datang (ke istiadat konvokesyen) pun bukan semua berasal dari Sabah sahaja.

‎‎”…mahasiswa UMS juga terdiri daripada pelajar seluruh Malaysia, dan saya tak nampak sebarang masalah timbul dalam hal ini,” katanya menurut Bernama ketika hadir Asean Sports Industry Expo 2025, di Shah Alam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.