Pendakwaan berantai tak sah, lelaki dibebaskan tuduhan edar dadah

Pendakwaan berantai tak sah, lelaki dibebaskan tuduhan edar dadah

Hakim K Muniandy berkata pengawasan kehakiman wujud untuk mengelak salah guna budi bicara pendakwaan dan melindungi kebebasan serta keadilan.

Mahkamah KL
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Cheng Ruey Hoe daripada tuduhan mengedar hampir 3kg syabu, dua tahun lalu.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi mengisytiharkan amalan “pendakwaan berantai” salah di sisi undang-undang dalam penghakiman penting yang mengesahkan hak kebebasan diri seorang tertuduh di bawah perlembagaan.

Hakim K Muniandy membuat keputusan itu ketika membenarkan permohonan Cheng Ruey Hoe untuk mengubah keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) yang sebelum ini diberikan mahkamah bagi tuduhan mengedar methamphetamine, kepada pembebasan penuh.

Muniandy memutuskan pendakwaan berantai – iaitu amalan pendakwaan menghidupkan semula tuduhan tidak aktif secara berturutan untuk melanjutkan penahanan seorang tertuduh – melanggar hak kebebasan diri seseorang seperti termaktub dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Cheng, 46, pada awalnya didakwa atas dua tuduhan mengedar dadah, melibatkan hampir 3kg methamphetamine dan 500g kokain. Dadah berkenaan didakwa ditemui dalam sebuah bilik hotel di Pudu pada 9 September 2023.

Pada 2 Ogos tahun lalu, Muniandy membenarkan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi kedua-dua tuduhan dengan memetik ketiadaan izin pendakwa untuk meneruskan dua kes berkenaan. Ini bererti Cheng masih boleh didakwa semula bagi tuduhan sama.

Pada hari sama, Cheng didakwa pula di Mahkamah Sesyen atas tuduhan memiliki kokain iaitu tuduhan berasingan yang berbangkit daripada kejadian sama. Perbicaraan bagi kes itu bermula pada Ogos dan masih berterusan.

Cheng kini ditahan di Penjara Sungai Buloh sehingga kes itu diselesaikan.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Cheng untuk dibebaskan daripada tuduhan methamphetamine berkenaan.

Dalam penghakiman lisannya, Muniandy yang kini hakim Mahkamah Rayuan, berkata pendakwaan mempunyai peluang secukupnya untuk meneruskan pertuduhan berkenaan tetapi gagal berbuat demikian. Penghakiman bertulis dijangka dikeluarkan pada tarikh kemudian.

Cheng diwakili peguam Gan Hsien Yang dan Raqib Osman manakala Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir mewakili pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.