
AGC dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan yang dikemukakan polis.
“Hasil penelitian mendapati terdapat asas mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap individu-individu yang terlibat,” katanya.
Menurut AGC, suspek akan didakwa di bawah Seksyen 375B dan 377B Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 di Mahkamah Majistret Melaka hari ini.
Kenyataan itu turut menegaskan komitmen jabatan berkenaan untuk memastikan setiap kes jenayah, khususnya yang melibatkan kanak-kanak dan jenayah seksual, ditangani dengan tegas dan berlandaskan undang-undang.
Mengikut laporan media, polis menahan dua suspek berusia 17 tahun yang disyaki dilaporkan merogol mangsa berusia 15 tahun bergilir-gilir kira-kira 2.50 petang 2 Okt lalu, ketika gadis itu berjalan ke kelasnya untuk mengambil barang.
Selain itu, dua daripada suspek yang dilaporkan melihat dan merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit mereka.