Murid di Sipitang cedera ketika bermain, bukan kerana dibuli, kata sekolah

Murid di Sipitang cedera ketika bermain, bukan kerana dibuli, kata sekolah

Guru Besar SK Padang Berampah Ag Ku Jainuddin Ag Wahab berkata, beliau ambil tanggungjawab penuh atas kejadian.

Gambar menunjukkan seorang murid perempuan dengan kesan darah pada pakaian seragam sekolahnya tular di media sosial. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang murid perempuan di Sipitang, Sabah, yang didakwa cedera di kepala akibat dipukul rakan sekolahnya hari ini, sebenarnya tercedera semasa bermain, kata guru besar sekolahnya.

Guru Besar SK Padang Berampah Ag Ku Jainuddin Ag Wahab berkata, siasatan awal mendapati murid itu cedera bukan kerana dibuli mahupun disebabkan pergaduhan.

“Saya selaku guru besar mengambil tanggungjawab penuh terhadap kejadian yang berlaku,” katanya dalam kenyataan.

“Sebagai tindakan segera, pihak sekolah membawa murid yang terlibat ke hospital untuk mendapatkan rawatan.”

Beliau berkata, gambar tular menunjukkan murid itu dengan kesan darah pada pakaian seragam sekolahnya dirakam ketika dalam perjalanan ke hospital.

Ag Ku Jainuddin berkata, ibu bapa murid itu telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

“Pihak sekolah akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan dan keselamatan semua murid serta mengambil langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Sipitang Awang Anak Suanda berkata, siasatan sedang dijalankan selepas gambar murid itu dikongsikan dalam talian.

Didakwa sebelum ini, seorang murid lelaki telah memukul mangsa dengan tali pinggang dalam kejadian pada 11 pagi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.