
Peguam yang mewakili keluarga Syamsul Haris Shamsudin berkata, sehingga kini tiada perkembangan baharu selepas AGC mengarahkan polis menyiasat kematian pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu pada 2 Dis lepas.
Naran Singh memberitahu FMT, semakan dengan pegawai penyiasat mendapati kertas siasatan sudahpun diserahkan kepada AGC.
“Kini sudah hampir hujung Februari. Kenapa tiada tindakan diambil sehingga sekarang? Kenapa pihak yang bertanggungjawab atas kematiannya masih belum didakwa?” soalnya
Syamsul meninggal dunia pada 28 Julai dalam keadaan yang tidak dapat ditentukan semasa menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor.
Dia dilaporkan diserang sawan sebelum meninggal dunia, dan kes itu pada mulanya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Bagaimanapun, ibu Syamsul tampil mendakwa tubuh anaknya dipenuhi lebam dan kecederaan yang lebih mencirikan serangan fizikal berbanding sekadar sawan.
Laporan bedah siasat kedua yang disediakan oleh pakar forensik Siew Sheue Feng turut mendedahkan bahawa Syamsul mengalami ‘kecederaan parah pada leher’ ketika masih bernyawa.
Ekoran itu, pada 2 Dis, AGC mengarahkan polis membuka siasatan kes bunuh terhadap kematian Syamsul selepas meneliti semula hasil siasatan polis.