Kenyataan isu sekolah ‘simpan di bawah karpet’ disalah tafsir, kata Fadhlina

Kenyataan isu sekolah ‘simpan di bawah karpet’ disalah tafsir, kata Fadhlina

Menteri pendidikan berkata kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan Azam Ahmad itu bukan bermaksud menunjukkan kementerian atau pihak sekolah cuba menyembunyikan salah laku.

fadhlina sidek
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementeriannya sedang mengkaji semula prosedur bagi memastikan tanda-tanda awal masalah di sekolah ditangani dengan cepat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa kenyataan ketua pengarah pendidikan mengenai masalah di sekolah yang ‘disimpan di bawah karpet’ baru-baru ini, telah disalah tafsir.

Beliau berkata, kenyataan Azam Ahmad itu bukan bermaksud menunjukkan kementerian atau pihak sekolah cuba menyembunyikan salah laku, sebaliknya merujuk kepada hakikat bahawa beberapa isu sebenarnya sudah pun diketahui oleh guru, pentadbir sekolah, kaunselor atau pejabat pendidikan.

Namun, katanya, banyak kes seperti itu tidak dianggap serius, menyebabkan tiada tindakan segera diambil.

Fadhlina berkata demikian ketika menjawab soalan Salamiah Nor (PN-Temerloh) mengenai langkah yang diambil Kementerian Pendidikan bagi memastikan insiden seperti kes rogol berkumpulan di sebuah sekolah di Melaka baru-baru ini tidak berulang.

Jalaludin Alias (BN-Jelebu) pula berkata memandangkan 15% murid sekolah mengalami masalah kesihatan mental, kementerian perlu melibatkan pakar psikiatri untuk membantu menguruskan isu tersebut, sambil memberi amaran bahawa ia boleh menjadi ‘bom jangka.’

Fadhlina memaklumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan sekolah supaya memberi tumpuan kepada kesihatan mental melalui saringan berkala.

“Kita akan jalankan saringan dua kali setahun. Kita akan periksa tanda-tanda kemurungan dan jika perlu, rujuk murid kepada Kementerian Kesihatan,” katanya, sambil menambah bahawa ibu bapa perlu bekerjasama dengan sekolah apabila intervensi dilakukan.

Fadhlina berkata, kerangka ‘sekolah selamat’ sudah diwujudkan berdasarkan empat pekeliling kementerian yang dikeluarkan antara 2000 hingga 2023, namun reformasi segera sedang dijalankan bagi menjadikannya lebih berkesan.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada penambahbaikan segera terhadap prosedur, kementeriannya akan menilai semula semua langkah keselamatan setiap 15 hari dengan input daripada pemimpin sekolah.

“Lima fokus utama ialah kesihatan mental, pendidikan reproduktif dan sosial untuk mencegah keganasan seksual, perlindungan kanak-kanak, kebajikan guru, serta suara pelajar,” katanya.

Fadhlina turut berkata bahawa pembentukan sahsiah akan menjadi teras kepada kurikulum baharu pada 2027, bermula dengan prasekolah tahun hadapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.