MAHB boleh kena tindakan jika gagal pantau operasi aerotrain, kata Loke

MAHB boleh kena tindakan jika gagal pantau operasi aerotrain, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata Apad sebagai badan kawal selia sistem rel ada kuasa ambil tindakan penguatkuasaan terhadap MAHB.

aerotrain klia
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata menjelaskan bahawa projek aerotrain dibiayai sepenuhnya oleh MAHB dan tidak melibatkan sebarang peruntukan kerajaan di bawah Kementerian Pengangkutan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) boleh mengambil tindakan terhadap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sekiranya sistem aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) gagal beroperasi pada tahap ketersediaan ditetapkan.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata Apad sebagai badan pengawal selia bagi semua sistem berasaskan rel mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap MAHB walaupun syarikat itu merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Walaupun MAHB ialah syarikat berkaitan kerajaan, ia tetap tertakluk kepada peraturan pelesenan kami.

“Kami (Kementerian Pengangkutan) boleh mengambil tindakan termasuk mengenakan denda sekiranya MAHB gagal memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada penumpang,” katanya dalam soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN–Setiu) yang meminta penjelasan mengenai langkah akauntabiliti yang dikenakan terhadap kontraktor dan pengurusan lapangan terbang berikutan gangguan berulang sistem aerotrain KLIA.

Pada Isnin lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah beritahu Dewan Rakyat, penyedia sistem aerotrain di KLIA boleh dikenakan penalti sehingga RM190,000 sebulan sekiranya gagal memastikan tren itu beroperasi pada tahap ketersediaan ditetapkan.

Hasbi berkata, pihak pengeluar asal peralatan (OEM) bertanggungjawab sepenuhnya memastikan aerotrain berfungsi pada tahap maksimum — 100% bagi satu tren, dan 99.5% apabila dua tren beroperasi serentak.

Beliau menjelaskan, projek aerotrain itu siap sepenuhnya pada 30 Jun lalu dan mula beroperasi pada 1 Julai, dan kini berada dalam tempoh liabiliti kecacatan selama dua tahun.

Menurutnya, antara 2 Julai dan 30 Sept, sebanyak 19 insiden kecil direkodkan, kebanyakannya melibatkan sistem semboyan atau signalling, termasuk kes penumpang yang cuba memaksa pintu tren dibuka secara manual.

Dalam pada itu, Loke turut menjelaskan bahawa projek aerotrain dibiayai sepenuhnya oleh MAHB dan tidak melibatkan sebarang peruntukan kerajaan di bawah Kementerian Pengangkutan.

“Terdapat sedikit salah faham, projek aerotrain ini tidak dibiayai oleh kerajaan. Keseluruhan kosnya ditanggung oleh MAHB sebagai pengendali lapangan terbang di bawah konsesinya.

“Tiada satu sen pun datang daripada peruntukan kementerian pengangkutan,” katanya.

Loke juga berkata sejak operasi disambung semula tiga bulan lalu, sistem aerotrain berkhidmat kepada kira-kira 5 juta penumpang dengan mengekalkan kadar ketersediaan operasi sebanyak 99.2%.

“Namun begitu, walaupun satu gangguan sekalipun adalah tidak boleh diterima. MAHB dan kontraktor mesti berusaha memastikan tiada sebarang gangguan teknikal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.