Suami isteri anjur program motivasi rumah tangga didakwa langgar Akta Kaunselor

Suami isteri anjur program motivasi rumah tangga didakwa langgar Akta Kaunselor

Shazifh Osman dan Munira Hishamshah masing-masing mengaku tidak bersalah atas perbuatan didakwa dilakukan pada September tahun lepas.

shah alam court
Mahkamah Majistret Shah Alam tetap jaminan masing-masing sebanyak RM7,000 terhadap Shazifh Osman dan RM5,000 terhadap Munira Hishamshah dengan seorang penjamin.
SHAH ALAM:
Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melanggar Akta Kaunselor 1998 berkaitan penganjuran sebuah program motivasi rumah tangga di Shah Alam tahun lepas.

Shazifh Osman, 38, dan Munira Hishamshah, 37, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin serta Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman.

Berdasarkan tuduhan, pasangan suami isteri itu yang juga doktor klinik kecantikan didakwa menjalankan suatu kesalahan di bawah amalan sebagai kaunselor yang berdaftar di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15 di sini antara 27 hingga 30 Sept tahun lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 22(1)(a) Akta Kaunselor 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM30,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin menawarkan jaminan masing-masing sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, pasport diserah kepada mahkamah dan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Peguam Alhirzan Mahamad Akhir, yang mewakili pasangan itu, memohon jumlah jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya hanya mampu menyediakan RM3,000 kerana perniagaan klinik mereka merudum.

Menurutnya, Munira turut menanggung ibunya yang menghidap kanser payudara.

Mahkamah menetapkan jaminan masing-masing sebanyak RM7,000 terhadap Shazifh dan RM5,000 terhadap Munira dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah.

Sebutan kes bagi kedua-dua tertuduh ditetapkan pada 24 Nov ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.