
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah JDDPs memainkan peranan positif dan semakin aktif menjalankan kerja kebajikan bersama badan bukan kerajaan (NGO), termasuk membantu anak yatim dan golongan asnaf menjelang musim perayaan.
“Majlis santapan malam ini bukan sekadar pertemuan sosial, tetapi turut membawa nilai kebajikan apabila hasil kutipan disalurkan kepada Tabung Pendidikan Jemaah Dato’-Dato,” titahnya sambil menyatakan tabung itu telah banyak membantu pendidikan anak-anak yatim dan asnaf sejak ditubuhkan.
Baginda bertitah demikian pada majlis santapan malam JDDPs sempena sambutan ulang tahun keputeraan Tuanku Syed Sirajuddin ke-82.
Tuanku Syed Sirajuddin diiringi Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid. Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir Yang di-Pertua Melaka Mohd Ali Rustam dan isteri Asmah Abd Rahman.
Presiden JDDPs, Hussin Md Tahak, dalam ucapannya pula berkata pertubuhan itu akan memperluas bidang khidmatnya tahun depan, termasuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat Perlis.
“Namun, usaha ini bergantung kepada kemurahan hati para dermawan yang sudi menyumbang kepada tabung dan aktiviti kami,” katanya.
Majlis itu turut menyaksikan Tuanku Raja Perlis melancarkan buku terbitan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) berjudul Transformasi Sahsiah Belia Asnaf Perlis: Ke Arah Pembangunan Insan Yang Berdaya Saing dan Mampan.
Buku itu hasil tulisan akademik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kangar.
Buku itu membincangkan peranan zakat, pembangunan sahsiah belia, dan strategi memperkasa golongan asnaf dengan menekankan transformasi sebagai pembinaan jati diri kukuh, bukan sekadar perubahan luaran.