
Jemaah Menteri akan menentukan sama ada Rang Undang-undang (RUU) Antibuli perlu dibahagikan kepada dua rangka kerja iaitu satu untuk individu di bawah umur 18 tahun dan satu lagi untuk orang dewasa bagi memastikan pendekatan lebih sesuai mengikut konteks kumpulan umur masing-masing.
“Ramai yang bertanya sama ada kita wajar mempunyai satu undang-undang untuk semua atau berasingan mengikut kumpulan umur. Jemaah Menteri perlu memutuskan perkara ini dan saya akan bentangkan kelebihan serta kekurangannya.
“Jawatankuasa teknikal akan meneruskan sesi libat urus di seluruh Pantai Timur serta di Sabah dan Sarawak untuk memperhalusi RUU itu,” katanya kepada pemberita selepas menjadi moderator forum ‘Nation Building and Future Resilience: Youth and Bullying’.
Azalina berkata RUU itu akan membolehkan penubuhan tribunal antibuli yang bertujuan menyediakan saluran alternatif kepada mangsa, terutama mereka yang tidak berpuas hati dengan prosedur yang dijalankan oleh pihak berkuasa termasuk sekolah.
Cadangan itu sedang diteliti memandangkan skop pelaksanaannya adalah besar kerana membabitkan lebih 10,000 sekolah dan 5.1 juta pelajar.
Mengenai tribunal yang dicadangkan, Azalina berkata ia akan mempercepat prosedur siasatan kerana ia tidak tertakluk kepada kes jenayah lain yang dikendalikan oleh polis.
Beliau berkata pihaknya sedang meneliti pelaksanaan mekanisme separa kehakiman iaitu sebuah platform khusus seakan-akan mahkamah yang dapat berfungsi dengan lebih pantas dan tertutup melalui proses pengantaraan atau tindakan bersifat hukuman.
Kerajaan juga bercadang memperkenal takrifan undang-undang yang lebih jelas berkaitan perbuatan buli merangkumi penderaan secara fizikal, lisan, emosional, sosial, dan siber.
“RUU ini akan membolehkan semua mangsa atau wakil mereka berkomunikasi secara langsung dengan tribunal sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan pihak sekolah. Secara asasnya, tribunal ini berperanan untuk mencari penyelesaian.
“Bagaimanapun, dalam konteks semasa, bagi individu berumur 18 tahun ke atas, perkara itu akan dinilai secara berbeza iaitu sama ada ia masih dianggap sebagai kesalahan jenayah atau sebaliknya.
“Semua aspek ini akan dibincang di peringkat Jemaah Menteri,” katanya.
Azalina berkata matlamat kerajaan adalah memastikan tribunal antibuli berperanan sebagai pelengkap kepada sistem sedia ada bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi sekali gus mengisi kelompongan serta memastikan keseragaman dalam pengendalian kes.
Selain itu, RUU tersebut akan memperluas perlindungan kepada kanak-kanak bawah umur yang tidak mengikuti pendidikan formal bagi menjamin akses kepada keadilan untuk semua individu di bawah usia 18 tahun tanpa mengira status pendidikan mereka.