Takiyuddin tikam lidah dengan Azalina, speaker tegur simpan tenaga

Takiyuddin tikam lidah dengan Azalina, speaker tegur simpan tenaga

Takiyuddin Hassan tuduh Azalina Othman Said bermain politik apabila didakwa gagal menjawab soalan asalnya.

Takiyuddin Hassan menuduh Azalina Othman Said bermain politik sambil menuntut jawapan jelas daripada menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) itu.
KUALA LUMPUR:
Persidangan Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Takiyuddin Hassan (PN–Kota Bharu) bertikam lidah dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Insiden tercetus apabila Azalina mendakwa Takiyuddin, semasa menjadi menteri undang-undang pada 2020 tidak menunjukkan kesungguhan untuk melaksanakan pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya.

“Kerajaan Madani bukan kerajaan retorik hanya cakap sahaja, berbeza masa Kota Bharu jadi menteri undang-undang tahun 2020 bercakap tentang pengasingan kuasa sampai menteri undang-undang tak pisah langsung.

“Beza mereka dengan kami. Kami cakap kami buat #WeWalkTheTalk,” kata Azalina.

Berang dengan kenyataan itu, Takiyuddin menuduh Azalina bermain politik apabila didakwa gagal menjawab soalan asalnya.

Terdahulu, beliau menyoal sama ada kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), serta isu titah adendum Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak.

Takiyuddin berkata, isu tersebut penting dalam konteks usaha kerajaan melaksanakan pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya, kerana kedua-dua insiden mencemarkan nama baik Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Adakah kerajaan akan menubuhkan atau mencadangkan penubuhan RCI untuk menyiasat perkara ini yang telah menjejaskan integriti Jabatan Peguam Negara? Memandangkan mahkamah memutuskan titah adendum itu wujud dan isu kebocoran minit mesyuarat itu juga dibangkitkan bekas ketua hakim,” soalnya.

Menjawab soalan itu, Azalina berkata beliau tidak dapat mengulas kerana kes berkenaan boleh menjadi subjudis.

Bagaimanapun, beliau menegaskan integriti bukan hanya terpakai kepada peguam negara, tetapi semua pihak yang memegang jawatan dalam kerajaan, politik atau institusi lain.

Takiyuddin kemudian bangkit semula dan terus menuduh Azalina bermain politik sambil menuntut jawapan yang jelas.

“Jawab soalan jangan melelong, kamu cuma main politik, soalan saya mudah sahaja, tak, kalau tak nak jawab, cakap tak nak jawab, tak berani jawab,” katanya.

Susulan ketegangan itu, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul meminta semua Ahli Parlimen bertenang dan menyimpan tenaga kerana sidang baru sahaja bermula.

“Saya tadi baru engkol motor ingat nak jalan pelan-pelan, rupa-rupanya pakai RXZ…terus laju? Belum 35 hari lagi (dah kecoh), save your energy (simpan tenaga anda),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.