
Ketua Pengarah Pendidikan Azam Ahmad berkata penutupan sekolah dilakukan mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), bagi memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga sekolah.
Sekolah juga diarah melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan kawalan, bagi membendung penularan jangkitan influenza dalam kalangan murid.
“Sebenarnya kita ada pengalaman yang panjang dengan Covid-19 dan garis panduan dalam berhadapan penyakit berwabak ini,” katanya pada sidang media khas.
“Kita sudah minta sekolah kita berpandukan garis panduan tersebut, supaya kita galakkan warga sekolah menggunakan pelitup muka dan pada masa yang sama mengurangkan aktiviti yang melibatkan murid-murid itu berinteraksi secara beramai-ramai.”
Azam beri jaminan Kementerian Pendidikan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang akan bermula pada 3 Nov.
“Kita sudah minta pegawai di Lembaga Peperiksaan untuk bersedia dengan cabaran-cabaran ini, sebab SPM akan bermula,” katanya.
Khamis lepas, KKM memaklumkan 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada minggu epidemiologi (ME) 40/2025, berbanding 14 kluster minggu sebelumnya, dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan.
Menurut KKM, semua negeri mencatatkan peningkatan, dengan lima negeri tertinggi ialah Selangor (43 kluster), Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9), dan Kedah (5), dengan kebanyakan kes menunjukkan simptom ringan.