Suami isteri maut, 4 cedera dalam kemalangan di Maran

Suami isteri maut, 4 cedera dalam kemalangan di Maran

Mangsa yang merupakan pengusaha kedai makan Aziz Satar di Terengganu maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur semalam.

kemalangan lpt
Keadaan kenderaan mangsa yang terbabit nahas di KM162.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur dekat Maran semalam. (Gambar PDRM)
KUANTAN:
Pasangan suami isteri yang merupakan pengusaha kedai makan Aziz Satar di Terengganu maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan di KM162.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur dekat Maran semalam.

Ketua Polis Maran, Wong Kim Wai, berkata dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, Aziz Awang, 68, yang memandu pacuan empat roda dan isterinya, Hasnah Mat Nong, 64, berada di tempat duduk penumpang hadapan kenderaan itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa bersama pekerja mereka dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Kemaman.

“Ketika tiba di tempat kejadian dan cuaca hujan, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik ke sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata akibat kemalangan itu pasangan suami isteri berkenaan meninggal dunia manakala tiga pekerja wanita kedai makan berkenaan berusia 27, 45 dan 65 tahun cedera.

Menurutnya, turut cedera, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang merupakan anak kepada salah seorang pekerja terbabit.

Wong berkata mayat suami isteri itu dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat manakala empat yang cedera menerima rawatan di Hospital Temerloh.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.