SPRM peroleh perintah halang transaksi RM486.4 juta dikaitkan dana 1MDB

SPRM peroleh perintah halang transaksi RM486.4 juta dikaitkan dana 1MDB

SPRM peroleh perintah mahkamah untuk beku tiga akaun bank atas nama Putera Turki Abdullah Abdul Aziz Al-Saud sebagai sebahagian usaha memulihkan aset 1MDB di luar negara.

macc sprm
SPRM berkata pembekuan tiga akaun bank itu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk memulihkan aset 1MDB disembunyikan di luar negara.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang sebarang transaksi membabitkan wang berjumlah USD115.3 juta (kira-kira RM486.4 juta) dalam tiga akaun bank di Switzerland atas nama Putera Turki Abdullah Abdul Aziz Al-Saud.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor, mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), dalam prosiding semalam.

SPRM memfailkan permohonan itu pada 7 Oktober lalu susulan maklumat diterima sejak 2011, yang mendakwa Putera Turki menerima, memindah dan menggunakan dana hasil penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui akaun miliknya.

Perintah berkenaan membekukan tiga akaun melibatkan USD87.1 juta (RM367.9 juta) dan USD12.7 juta (RM53.9 juta) di JP Morgan, serta USD$15.3 juta (RM64.9 juta) di UBS Switzerland.

Dalam kenyataannya, SPRM berkata langkah itu sebahagian usaha berterusan kerajaan untuk memulihkan aset 1MDB disembunyikan di luar negara melalui kerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.