Projek terowong dasar laut ‘land scam’, mahkamah diberitahu

Projek terowong dasar laut ‘land scam’, mahkamah diberitahu

Pegawai Penyiasat SPRM Zulhilmi Ramli dakwa projek itu satu cara mengaburi mata masyarakat.

Lim Guan Eng
Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dibicarakan atas empat tuduhan rasuah berkaitan projek terowong dasar laut dan jalan bernilai RM6 bilion. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pegawai penyiasat yang ditugaskan menyiasat projek terowong dasar laut Pulau Pinang memberitahu Mahkamah Sesyen dalam perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng bahawa projek RM6.3 bilion itu merupakan ‘land scam’.

Zulhilmi Ramli, dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata beliau ditugaskan menjalankan siasatan itu pada Jun 2020.

Katanya, siasatan itu tertumpu kepada dakwaan penyalahgunaan kuasa, rasuah, dan penyelewengan harta secara tidak jujur melibatkan Lim.

“Projek tersebut hanyalah satu perkara untuk mengaburi mata masyarakat dan ini lebih berbentuk land scam,” kata Zulhilmi.

Beliau berkata, pasukan penyiasatnya mengambil keterangan bekas ahli exco Pulau Pinang, pekerja Consortium Zenith Sdn Bhd, serta saksi lain sepanjang siasatan berjalan.

Zulhilmi turut memberitahu mahkamah, individu utama dalam kes itu merupakan ahli perniagaan, Zarul Ahmad Zulkifli.

“(Bekas exco Pulau Pinang) Lim Hock Seng memberitahu kami yang YB Lim telah memintanya menghubungi Zarul selepas mesyuarat exco pada 26 Jan 2011,” katanya.

Beliau berkata, Zarul mendakwa dalam keterangannya kepada SPRM bahawa Lim memintanya memberi 10% daripada nilai projek terowong itu, dan Zarul bersetuju.

Zulhilmi menegaskan, siasatannya tidak ‘berat sebelah’ terhadap Lim, dan kesimpulannya dibuat selepas meneliti keterangan semua saksi.

Lim didakwa menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu meminta 10% keuntungan projek terowong dasar laut dan menerima rasuah RM3.3 juta daripada Zarul.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melakukan penyelewengan harta tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta.

Pendengaran bersambung di hadapan Hakim Azura Alwi pada 15 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.