Kerajaan tak saman bank terkait 1MDB

Kerajaan tak saman bank terkait 1MDB

Namun Kementerian Kewangan berkata 1MDB memfailkan saman terhadap lapan bank.

Kerajaan dan 1MDB capai penyelesaian dengan tiga institusi kewangan iaitu Goldman Sachs berjumlah USD3.9 bilion terdiri USD2.5 bilion tunai dan jaminan pemulihan aset bernilai USD 1.4 billion. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak memfailkan saman terhadap mana-mana bank berhubung penglibatan mereka dalam transaksi penyelewengan dana 1MDB, kata Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, MoF memaklumkan pihak 1MDB memfailkan saman terhadap lapan bank iaitu Goldman Sachs Group Inc, AmBank Group, JP Morgan (Switzerland) Ltd, Deutsche Bank (Malaysia) Bhd, BSI Bank Singapore, Amicorp Group, Standard Chartered Bank Singapore dan RBS Coutts.

Menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat, MoF turut memaklumkan kerajaan dan 1MDB mencapai penyelesaian dengan tiga institusi kewangan iaitu Goldman Sachs berjumlah USD3.9 bilion terdiri USD2.5 bilion tunai dan jaminan pemulihan aset bernilai USD 1.4 billion.

Ia termasuk AmBank Group sebanyak RM2.83 bilion dan JP Morgan berjumlah RM1.4 billion.

“Semua hasil penyelesaian tunai daripada ketiga-tiga institusi kewangan berkenaan telah diterima sepenuhnya dan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery) bawah kendalian Kementerian Kewangan,” katanya.

Terdahulu, Yeo Bee Yin (PH-Puchong) menuntut penjelasan berhubung status pemulihan aset dan senarai bank yang disaman kerajaan bagi penyertaan dalam transaksi 1MDB dan mereka yang mencapai penyelesaian.

Sementara itu, MoF memaklumkan kerajaan kini berdepan prosiding timbang tara dengan Goldman Sachs di London Court of International Arbitration (LCIA), susulan pertikaian berkaitan obligasi dalam perjanjian penyelesaian 18 Ogos 2020 antara kerajaan Malaysia, 1MDB dan Goldman Sachs.

MoF berkata, prosiding itu dikendalikan pasukan perundangan kerajaan terdiri Jabatan Peguam Negara dan peguam-peguam Inggeris (King’s Counsel) yang dilantik.

“Memandangkan pihak-pihak dalam prosiding timbang tara ini adalah terikat dengan obligasi kerahsiaan yang ketat, maka sebarang maklumat terperinci berhubung prosiding timbang tara ini tidak dapat didedahkan pada masa ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.