Yes lancar 5G Advanced secara komersial

Yes lancar 5G Advanced secara komersial

Liputan menyeluruh yang dijangka menjelang Disember itu sasar rangkaian sedia AI dan pengalaman digital bertaraf dunia.

(Dari kiri ke kanan) Ketua Pegawai Pemasaran YTL Communications Yeoh Keong Ren, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro, CEO YTL Communication Wing K Lee, Pengarah Urusan YTL Power International Bhd Yeoh Seok Hong, CEO Digital Nasional Berhad Azman Ismail dan Pengarah Eksekutif YTL Communications Fadhlullah SuhaimiAbdul Malek pada pelancaran 5G Advanced oleh Yes. (Gambar Yes)
PETALING JAYA:
YTL Communications menjadi syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia melancarkan 5G Advanced secara komersial melalui jenama perkhidmatannya, Yes.

Pelancaran itu menandakan permulaan pelaksanaan teknologi 5G Advanced di Lembah Klang, yang dijangka siap di seluruh negara menjelang Disember 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications Wing K Lee berkata langkah itu bukan sekadar peningkatan rangkaian tetapi lonjakan besar ke arah masa depan digital negara.

“Dengan 5G Advanced, rakyat Malaysia bakal menikmati liputan 5G lebih menyeluruh serta prestasi tanpa wayar berkelajuan tinggi.

“Ia menjadi asas kepada masyarakat inklusif dan bersedia menghadapi era kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam kenyataan.

Menurut Wing, teknologi 5G Advanced membolehkan kelajuan muat turun dan muat naik lebih pantas, kependaman ultra-rendah serta memperkenalkan buat pertama kali di Malaysia fungsi Advanced Network Slicing.

Jelasnya, ia memberikan keutamaan trafik berdasarkan kualiti perkhidmatan (QoS) – atau dikenali sebagai ‘haluan VIP’ untuk sambungan lebih stabil.

Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Berhad (DNB) Azman Ismail pula menyifatkan pelancaran itu sebagai langkah penting dalam memperkukuh infrastruktur digital negara.

“Dengan Yes 5G Advanced kini aktif di seluruh negara, kami komited bekerjasama rapat bagi mempercepat pelaksanaan keupayaan rangkaian berasaskan AI menjelang hujung tahun,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro pula berkata pengenalan 5G Advanced membuka lembaran baharu dalam transformasi digital Malaysia.

“Evolusi 5G ini bakal menawarkan pengalaman mudah alih bertaraf dunia — dari penstriman yang lebih lancar hingga permainan dalam talian yang lebih responsif. YTL kini menjadi pengendali kesembilan di dunia memperkenalkan 5G Advanced,” katanya.

Yes 5G Advanced dibina menggunakan integrasi spektrum 700MHz dan 3500MHz bagi memastikan liputan dalaman lebih kukuh serta liputan luar lebih luas. Ia juga menyokong panggilan suara melalui rangkaian baharu (VoNR) bagi pengalaman komunikasi lebih lancar.

Teknologi itu direka untuk menyokong ekosistem AI dengan kemampuan menyesuaikan rangkaian secara masa nyata melalui Advanced Network Slicing, membolehkan pengalaman digital generasi baharu direalisasikan sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.