Keanggotaan ITU mampu lonjak komunikasi negara di pentas global

Keanggotaan ITU mampu lonjak komunikasi negara di pentas global

Pakar berkata penyertaan Malaysia juga akan beri manfaat kepada rakyat dalam menikmati perkhidmatan telekomunikasi dan internet yang terbaik.

fahmi fadzil
Fahmi Fadzil (dua kiri) dalam pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun Murakami Seiichiro sempena Mesyuarat Menteri Komuniti Telekomunikasi Asia-Pasifik di Tokyo. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Keanggotaan Malaysia dalam Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) perlu diteruskan kerana ia bukan sahaja berimpak tinggi terhadap pembangunan sektor telekomunikasi malah berpotensi melonjakkan kedudukan negara di pentas global.

Pensyarah Kanan Kewartawanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Faisal Mohamed Fiah, berkata langkah itu juga penting bagi memperkukuh kedudukannya dalam ekonomi digital dan teknologi.

Ahmad Faisal Mohamed Fiah.

“Ini antara platform terbaik buat Malaysia dalam menonjolkan kemampuannya khusus dalam bidang telekomunikasi dan pasti akan dapat menarik lebih banyak kerjasama dengan pelbagai negara lagi.

“Dalam era kecerdasan buatan (AI), aspek telekomunikasi nyata sekali kita tidak boleh ketinggalan, justeru keanggotaan dalam ITU akan memastikan kita sentiasa berada di landasan perkembangan semasa teknologi telekomunikasi,” katanya kepada FMT.

Faisal mengulas manfaat boleh diraih susulan Malaysia berhasrat ingin meneruskan keanggotaan sebagai ahli majlis dalam ITU bagi sesi 2027-2030.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata hasrat itu disampaikan dalam beberapa perjumpaan dua hala sempena Mesyuarat Menteri Komuniti Telekomunikasi Asia-Pasifik (APT).

Syahruddin Awang Ahmad.
Syahruddin Awang Ahmad.

Sementara itu, pakar komunikasi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Syahruddin Awang Ahmad, berkata keanggotaan Malaysia adalah langkah strategik memperkukuh pengaruh negara dalam pembentukan dasar dan peraturan telekomunikasi global.

Katanya, manfaat utama daripada keanggotaan itu adalah keupayaan Malaysia untuk terlibat secara langsung dalam penetapan standard teknikal global yang menjadi asas kepada keserasian teknologi komunikasi di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Ini membolehkan Malaysia memastikan bahawa teknologi digunakan di negara ini selaras piawaian antarabangsa, memudahkan ketersambungan dan keupayaan pengoperasian di dalam negara dan dengan rangkaian global.

“Ia juga memberi Malaysia akses kepada maklumat terkini mengenai trend teknologi dan peraturan baharu yang membolehkan negara merancang dasar dan strategi pembangunan telekomunikasi dengan lebih berkesan,” katanya.

Shifa Faizal.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Shifa Faizal, pula berkata jika negara tidak dipilih semula sebagai ahli majlis ITU, Malaysia berisiko kehilangan suara dalam proses merangka dasar global yang penting, termasuk keselamatan siber dan pembangunan teknologi baharu.

“Keanggotaan ini juga penting untuk membuka peluang kerjasama strategik dengan negara lain,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman Malaysia sebelum ini yang tidak berjaya dalam pencalonan antarabangsa, seperti pembinaan kabel dasar laut Echo dan Bifrost oleh Facebook memberi peringatan betapa pentingnya kedudukan tersebut untuk memastikan suara dan kepentingan negara terus diiktiraf di peringkat global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.