
Beliau berkata, tiada kompromi dalam aspek kemudahan itu kerana masyarakat di pedalaman juga berhak menerima rangkaian akses komunikasi sama seperti penduduk lain.
“Saya nak ingatkan kepada pihak telco agar memandang serius gangguan telekomunikasi di seluruh negeri Pahang. Walau atas alasan apa sekalipun, kita punya amanah dan tanggungjawab yang seharusnya dipikul secara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Gusai, Jerantut, semasa melakukan lawatan kerja dua hari bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Mukim Hulu Tembeling bermula semalam.
Fadzli memaklumkan, tahap liputan 4G di kawasan berpenduduk di Pahang mencatatkan peningkatan 99.54% setakat ini berbanding 89.2% sebelum pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan disasarkan mencecah 100% setelah pelaksanaan Jendela fasa kedua kelak.
“Faktor utama kenaikan peratusan liputan ini adalah daripada pembinaan 270 menara baharu yang pelaksanaannya bermula dari tahun 2021 di seluruh Pahang, khususnya di penempatan penduduk, kampung-kampung tradisional dan jalan raya di luar bandar.
“Di samping itu, faktor penyumbang lain ialah kerja-kerja menaik taraf 902 stesen pemancar sedia ada daripada liputan 3G kepada 4G yang siap sepenuhnya pada tahun 2023,” katanya.
Berhubung perancangan bagi Jendela fasa kedua, beliau berkata kerajaan negeri telah mengemukakan permintaan kepada Kementerian Komunikasi agar Pahang turut diberi keutamaan dari segi jumlah peruntukan pembinaan menara baharu antaranya di kawasan pendalaman seperti Mukim Hulu Tembeling.
Sementara itu, Fadzli berkata kerajaan negeri memandang serius isu capaian perkhidmatan telekomunikasi yang kerap berlaku di Mukim Hulu Tembeling disebabkan oleh kerosakan kabel gentian optik yang berpunca daripada ancaman haiwan liar, bencana alam dan kabel putus ditimpa runtuhan dahan pokok.
Justeru, setelah mendengar taklimat disampaikan pihak telco, beliau memaklumkan kerja penggantian kabel gentian optik yang rosak di Kampung Gusai, Jerantut dan di enam lokasi lain hingga ke Kem Nusa, Kuala Tahan akan bermula hari ini dan dijangka selesai pada Ogos.