
Dewan Rakyat diberitahu bahawa beliau menerima surat daripada peguam-peguam mempersoalkan keperluan lawatan itu, yang bertujuan untuk mengkaji cara kursus peguam dijalankan.
“Mereka mempersoalkan keperluan keluar negara sedangkan maklumat itu boleh didapati di sini,” katanya semasa menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2025 Siri 3.
Dewan Rakyat diberitahu LPQB mengadakan sesi dialog dengan pelajar Malaysia di UK, yang disifatkannya sebagai perkara baik, namun beliau menambah bahawa sesi itu lebih wajar diadakan di sini, di mana 99% pelajar berada.
Timbalan menteri menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong), yang mempersoalkan rasional lawatan tersebut.
Kulasegaran juga menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyiasat LPQB, menyatakan rekod kewangannya belum diaudit sejak 17 tahun lepas.
Pada Oktober tahun lepas, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa LQPB belum diaudit bagi tempoh itu, dengan RM20.5 juta dibelanjakan untuk kos operasi.
Pada 29 Ogos, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said, mendedahkan lawatan LPQB tersebut menelan kos keseluruhan sebanyak RM515,125.
Kos tersebut termasuk tiket penerbangan, penginapan, sewa kenderaan di London, elaun harian untuk delegasi, makanan semasa sesi dialog awam, dan cenderamata.
Menurut Azalina, delegasi mengadakan mesyuarat dengan University of Law, City Law School, Legal Services Board, Solicitors Regulation Authority, Lincoln’s Inn, University of London, dan Bar Standards Board.
Kulasegaran berkata ketua audit negara akan mengaudit penyata kewangan LPQB mulai tahun ini, selaras pindaan Akta Profesion Undang-undang pada 2024.
Pengauditan penyata kewangan LPQB bagi tahun 2025 akan diadakan pada 2026, selepas tamatnya tahun kewangan tersebut.
Cha Kee Chin (PH-Rasah) dan Teresa Kok (PH-Seputeh) membantah, mengatakan ketua audit negara sepatutnya dibenarkan untuk mengaudit rekod kewangan LPQB sekurang-kurangnya bagi tempoh sedekad yang lalu.
Kulasegaran menjelaskan pindaan akta berkuat kuasa ke depan (prospektif) dan bukannya ke belakang (retrospektif), bermaksud ketua audit negara tidak boleh memaksa lembaga itu menyerahkan penyata kewangan dari 17 tahun yang lalu.
Bagaimanapun, Kulasegaran kata beliau akan meminta LPQB untuk secara sukarela mengaudit kewangannya dalam tempoh hampir dua dekad yang lalu, dan membentangkan penemuan kepada Parlimen.
“Mereka tidak mengaudit kewangan selama 17 tahun yang lalu adalah tidak boleh diterima, dan rakyat menuntut jawapan,” katanya.