RUU Profesion Undang-undang lulus di Dewan Rakyat

RUU Profesion Undang-undang lulus di Dewan Rakyat

Pindaan pada Akta 166 ini antara lain menambah baik pengurusan dan penguaditan LPQB.

dewan rakyat
Dewan Rakyat meluluskan pindaan pada Akta 166, bagi menambah baik pengurusan dan penguaditan LPQB. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rang Undang-undang (RUU) Profesion Undang-undang (Pindaan) 2025 diluluskan di Dewan Rakyat selepas bacaan kali ketiga.

Pindaan pada Akta Profesion Undang-undang (Akta 166) ini antara lain menambah baik pengurusan dan penguaditan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LPQB). Fasal 3 RUU itu bertujuan menggantikan Seksyen 7 untuk mengadakan peruntukan bagi keanggotaan LPQB. Fasal ini bertujuan mengadakan peruntukan bagi kuasa menteri untuk melantik anggota LPQB yang tertentu dan perkara yang berhubungan dengannya.

Di bawah pindaan itu, keanggotaan LPQB haruslah terdiri daripada peguam negara selaku pengerusi, pengerusi majlis peguam sebagai timbalan pengerusi, seorang hakim yang dinamakan oleh ketua hakim negara, ketua pengarah bahagian hal ehwal undang-undang di Jabatan Perdana Menteri, dan ketua pendaftar.

Keanggotaan LPQB juga haruslah terdiri daripada seorang anggota sepenuh masa daripada kakitangan akademik suatu fakulti undang-undang institusi pendidikan tinggi swasta berdaftar, yang dinamakan dan dilantik oleh menteri yang dipertanggungjawab bagi pendidikan tinggi.

Dua anggota lagi adalah peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak serta mengamal undang-undang di Sabah atau Sarawak, yang dinamakan oleh Persatuan Undang-undang Sabah atau Persatuan Peguam Bela Sarawak, dan dilantik oleh menteri.

RUU dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran. Bacaan kali pertama pada 17 Sept lalu.

Menjawab soalan beberapa Ahli Parlimen berhubung dakwaan anggota LPQB akan didominasi cabang eksekutif, Kulasegaran menerangkan lima daripada lapan anggota yang dilantik oleh menteri sebenarnya melalui pencalonan badan profesional dan institusi berkaitan, bukan individu pilihan menteri.

Mengulas kebimbangan terhadap campur tangan politik dalam pelantikan tersebut, Kulasegaran menerangkan Seksyen 7 (3)(4)(5) menetapkan anggota lembaga tidak boleh memegang jawatan dalam mana-mana parti politik.

“Ini bermakna jika seorang aktif dalam sebarang parti politik, dia tidak layak menjadi anggota lembaga. Oleh itu, tidak timbul isu terdapat campur tangan politik dan lembaga tersebut,” katanya.

Menurut Kulasegaran, perlantikan oleh menteri melalui pindaan dibuat bawah Seksyen 7 tidak bermaksud kuasa eksekutif mencampuri profesion guaman.

“Ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti profesion guaman dengan menambah baik komposisi ahli-ahli LPQB yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bagi merangka polisi yang lebih efisien berkenaan penetapan kemasukan mana-mana orang sebagai peguam bela peguam cara di negara ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.