
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu turut meminta polis serta Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan di bawah peruntukan undang-undang mana siasatan asal diklasifikasikan dan mengapa peruntukan tersebut digunakan.
Kulasegaran mengalu-alukan persetujuan AGC terhadap syor Bukit Aman supaya siasatan itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh namun berkata langkah tersebut menimbulkan persoalan yang masih belum terjawab.
“Di bawah peruntukan apakah siasatan itu pada asalnya diklasifikasikan dan mengapa siasatan bunuh tidak dimulakan sejak awal?
“Walaupun klasifikasi semula ini dialu-alukan, kepercayaan orang ramai terhadap institusi hanya dapat dipelihara jika siasatan dijalankan dengan pantas dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Ipoh Barat itu turut menggesa polis mempercepatkan siasatan kes bunuh tersebut bagi memastikan semua bukti dapat dikumpulkan dan keterangan saksi direkodkan ketika masih segar.
Kulasegaran berkata hasil siasatan itu akan memberi implikasi terhadap kepercayaan awam terhadap pihak berkuasa serta keupayaan mereka melindungi hak golongan terjejas.
“Keluarga mangsa tembakan mesti diberi jaminan dan keyakinan bahawa siasatan akan mencari punca sebenar kejadian. Kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan,” katanya.
Tiga lelaki itu ditembak mati oleh polis Melaka yang mendakwa mereka perompak bersiri dan telah menyerang seorang anggota polis menggunakan parang. Polis negeri pada awalnya menyiasat kejadian itu sebagai cubaan membunuh.
Namun, peguam mewakili keluarga M Puspanathan, 21, T Poovaneswaran, 24, dan G Logeswaran, 29, berkata rakaman audio dan bukti forensik menunjukkan mereka dibunuh secara ‘execution-style’.