
Mereka ialah Timbalan Presiden STAR Ellron Angin (Adun Sook) dan Robert Tawik (Bingkor) serta Naib Presiden Annuar Ayub (Liawan), Flovia Ng (Tulid) dan Abidin Madingkir (Paginatan).
Mereka berkata, kestabilan politik Sabah dan kesinambungan pembangunan adalah keutamaan buat masa ini.
“Kami berpegang kepada mandat serta kepercayaan yang diberikan rakyat kepada kami,” katanya dalam kenyataan bersama.
“Justeru, kami berdiri teguh untuk kekal bersama GRS dan mempertahankan kerusi kami atas lambang GRS sebagai tanda setia kepada mandat rakyat dan demi kestabilan Sabah.”
Mereka berkata, sebarang keputusan berkaitan hala tuju parti wajar dibincangkan secara teliti demi kepentingan rakyat dan Sabah.
Minggu lalu, Presiden STAR, Jeffrey Kitingan mengumumkan parti itu meninggalkan GRS selepas menolak pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan yang disifatkannya bertentangan kehendak akar umbi mahu perwakilan tempatan.
Tetapi, lima daripada enam Adunnya memutuskan untuk terus menyokong GRS pada PRN Sabah.
Lima pemimpin STAR itu turut dilaporkan akan memohon menyertai GRS supaya boleh bertanding pada PRN Sabah atas tiket gabungan pemerintah.