
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan kata belanjawan yang akan dibentangkan pada Jumaat memberi penekanan pada “melindungi isi rumah daripada tekanan pada masa ini di samping meletakkan asas bagi pertumbuhan masa depan.”
“Bagi keluarga yang mengimbangi belanjawan bulanan, atau generasi muda rakyat yang mencari pekerjaan pertama, ketidaktentuan bukanlah sekadar idea; ini adalah realiti hidup. Belanjawan 2026 dirangka dengan menjadikan kumpulan ini sebagai keutamaan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Forum Megatrends Khazanah (KMF) 2025.
Beliau berkata belanjawan berkenaan bukan sekadar langkah yang bersendiri sendiri, sebaliknya ‘permulaan’ kepada Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), yang akan merangka hala tuju Malaysia bermula 2026 hingga 2030.
“Hala tuju kita jelas. Malaysia akan melaksanakan semula pengindustrian menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu, menerajui semikonduktor melalui Strategi Semikonduktor Nasional, mempercepat peralihan tenaga dan memanfaatkan pendigitalan dan inovasi.
“Semua strategi ini berkongsi satu matlamat — untuk menjamin pekerjaan yang lebih baik, perniagaan lebih kukuh dan peluang lebih cerah untuk anak-anak kita.
“Belanjawan ini juga menjamin asas fiskal kami dengan mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8% daripada KDNK tahun ini, mengurangkan kebergantungan kepada hutang dan memperkukuh tadbir urus melalui Akta Tanggungjawab Fiskal 2023 dan undang-undang baharu mengenai ketelusan,” kata beliau.
Menurutnya RMK13 bukan sekadar rancangan ke atas ekonomi malah rancangan untuk rakyat.
“Dalam kalangan pekerja, ini bermakna pekerjaan yang lebih baik. Bagi isi rumah, kehidupan yang lebih mampu milik. Kepada perniagaan kecil, sokongan yang lebih kuat untuk berkembang dan untuk golongan muda, lebih banyak peluang untuk terus berada di negara ini dan mencapai kejayaan,” katanya.
Amir turut menekankan bahawa ekonomi kekal berdaya tahan.
“Walaupun berdepan cabaran global, Malaysia telah memaparkan daya tahan, dengan pelaburan langsung asing tertinggi yang pernah direkodkan, pengukuhan ringgit, daya saing yang semakin baik, pengangguran menurun dan inflasi rendah,” katanya.