Kumpulan industri kesal kontroversi majlis makan malam

Kumpulan industri kesal kontroversi majlis makan malam

Mitta, Mica, dan M2HCA kata majlis itu dianjurkan dan dibiayai oleh pemain industri pelancongan dan bukannya oleh Tourism Malaysia, atau kementerian.

Global Travel Meet capai kejayaan ‘membanggakan’ kerana menjana impak ekonomi lebih RM420 juta, kata kumpulan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tiga kumpulan industri menyatakan kekesalan atas kontroversi yang tercetus akibat penghidangan arak pada majlis makan malam yang diadakan sempena Global Travel Meet (GTM).

Malaysian Indian Travel & Tours Association (Mitta), Malaysian Inbound Chinese Association (Mica), dan Malaysia My 2nd Home Consultants Association (M2HCA) berkata majlis pada 1 Oktober itu dianjurkan dan dibiayai oleh pemain industri pelancongan dan bukannya oleh Tourism Malaysia, atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Kumpulan-kumpulan itu berkata kementerian dan Tourism Malaysia menggunakan Global Travel Meet untuk melancarkan kalendar acara Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Mitta, Mica dan M2HCA memahami sepenuhnya kontroversi yang timbul daripada majlis makan malam tersebut dan dengan ikhlas melahirkan kekesalan kami kepada kementerian dan Tourism Malaysia, dan khususnya kepada Menteri Tiong King Sing,” menurut kenyataan.

Mereka berkata Global Travel Meet mencapai kejayaan ‘membanggakan’ kerana menjana impak ekonomi lebih RM420 juta.

Ia juga menghimpunkan lebih 600 pembeli antarabangsa dan lebih 100 media antarabangsa.

Kumpulan-kumpulan itu berkata kenyataan ini untuk menangkis maklumat ‘tidak bertanggungjawab’ dan ‘mengelirukan’ mengenai majlis makan malam tersebut.

Ahli Parlimen Bersatu Mas Ermieyati Samsudin sebelum ini memuat naik sebuah video di Facebook, pada Sabtu lalu, yang menyoal mengapa minuman beralkohol dihidangkan pada acara kerajaan, mengatakan ini melanggar norma budaya dan perlembagaan.

Tiong kemudian menafikan arak dihidangkan pada majlis makan malam yang dihoskan oleh kerajaan, menyatakan bahawa ia dianjurkan oleh rakan kongsi sektor swasta untuk meraikan acara perjalanan global, yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Beliau juga berkata walaupun Tourism Malaysia pada mulanya adalah penganjur, pemain sektor swasta melihat peluang untuk mendapatkan perjanjian perniagaan yang besar dan mengambil alih penganjuran majlis makan malam itu.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi pula berkata beliau akan membangkitkan bantahan Umno terhadap penghidangan arak itu pada mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.